Thursday, January 12, 2012

CINTA BERSALAM


TINGKAH laku dan sikap seorang wanita muslimah yang berhijab, menyempurnakan rukun Islam dan baru saja tamat pengajian di universiti Islam akan sempurna daripada segala sisinya, apatah lagi sebagai insan biasa sudah pasti banyak kekurangannya. Siapa kata wanita berhijab semuanya sempurna?

Pada mulanya wanita cantik itu lokek senyuman dengan orang lain, walaupun sangat manis dan beradab ketika bersama dengan keluarga dan orang yang dekat dengannya. Namun, di sisi lain dia langsung tidak memberikan seulas senyuman kepada orang lain terutama jejaka yang tiba-tiba datang di kampungnya untuk belajar agama kerana tuntutan kerjanya sebagai seorang pelakon.
Itulah serba sedikit kisah cinta yang dipaparkan dalam filem terbaru arahan Azhari Zain, seorang pengarah yang sudah mempunyai pengalaman luas dalam industri perfileman di Malaysia. Mempertaruhkan jalan cerita yang lebih bersifat Islamik, Azhari percaya karya terbarunya ini mampu menarik perhatian peminat industri seni tanah air kerana ia banyak menyuntik elemen yang berlaku di sekeliling tanpa disedari.

Bekerja di bawah Azhari Zain sangat mudah dan masih mempunyai ruang untuk relaks sebentar. Sikapnya yang sangat ‘cool’ itu menjadikan semua yang bekerja di bawahnya tidak dilanda tekanan yang kritikal. Sudah menjadi tugas seorang pengarah untuk memastikan pelakon yang memegang peranan masing-masing berjaya menyentuh jiwa penonton nanti.



Ketika berkunjung ke lokasi penggambaran filem Assalamualaikum Cinta ini, tidak ada suara membentak keluar daripada mulut lelaki itu. Sesekali kedengaran lelaki itu menjerit ‘cut!’ dan kemudian memberikan penerangan serta arahan seterusnya untuk babak lain. Keletihan jelas tergambar di wajah bukan hanya pelakon tetapi juga mereka di sebalik tabir filem itu namun komited dengan kerja, tiada seorang pun yang merungut.


“Seronok bekerja dengan orang-orang yang sudah sedia maklum dengan kehendak kita. Tidak perlu jelaskan dengan panjang lebar, mereka sudah tahu apa yang harus mereka lakukan, bagaimana babak itu dilakonkan.

“Tidak ada gunanya kita marah apabila sedikit kesilapan berlaku. Dialog salah, ‘angle’ jurukamera juga mungkin tidak menarik tetapi kesalahan kecil seperti ini boleh dibawa berbincang.

“Idea cerita ini diilhamkan daripada perubahan ramai artis wanita yang dulunya tidak bertudung mengambil keputusan untuk ‘berhijrah’ dan memakai tudung. Apa yang saya paparkan bukanlah perjalanan seorang wanita yang tidak bertudung kemudian terbuka hati untuk berhijab.

“Konsepnya masih percintaan tetapi menyelitkan cinta dan takwa kepada Allah melebihi segala-galanya. Masyarakat selalu menggambarkan wanita berhijab harus selalu tersenyum kerana senyuman itu satu sedekah namun watak Diana tidak begitu,” katanya ketika ditemubual di lokasi penggambaran.

Pemilihan tempat di sebuah chalet di Morib sangat sesuai dengan tuntutan latar belakang cerita yang kebanyakan babak berlaku di sebuah kampung. Bangunan yang digunakan untuk mengajar kelas agama berada di tengah-tengah hutan kayu bakau menghidupkan lagi plot pada filem itu.

Khusyuk skrin televisyen kecil untuk melihat mereka berlakon, tiba-tiba Kamal Adli yang memegang watak Amirul, berlari terus berlutut di hadapan ayah Laila, memohon sedikit pengertian agar mereka bersimpati dan memberitahu keberadaan Laila (Diana). Caranya yang berlari dan terus duduk di hadapan ayah Laila menimbulkan sedikit rasa sakit pada lutut namun ekspresi mukanya tidak berubah.

Ternyata, pemilihan pelakon untuk membintangi filem itu sangat tepat. Kamal yang semakin meningkat naik digandingkan dengan Diana yang baru saja memakai tudung pada tahun lalu dianggap sebagai gandingan mantap oleh pengarah filem itu sendiri. Tambahan pula, kedua-dua pelakon itu tidak mempunyai masalah untuk melakonkan watak sebagai dua insan yang bercinta kerana sebelum ini mereka pernah membintangi drama bersiri bersama.

Memilih Kamal dan Diana sebagai teraju utama filem ini, Azhari mempercayai kedua-dua pelakon itu mempunyai aura yang tersendiri.

“Diana baru saja mula bertudung sebab itu menjadikan dia sangat sesuai untuk watak yang diberikan itu. Tambahan pula, Kamal dan Diana sama-sama meningkat naik dalam industri seni.

“Kamal mempunyai aura yang tersendiri sebagai lelaki kasanova yang akhirnya berubah dan mula mencintai agamanya setelah bertemu dan bergaul dengan masyarakat yang mementingkan norma keagamaan,” tambahnya.

Assalamualaikum Cinta mengisahkan Amirul, seorang pelakon yang menerima tawaran sebagai watak lelaki Islam. Dia ke sebuah kampung untuk melihat sendiri kehidupan seorang Imam agar dapat menjiwai watak lakonannya.

Di kampung itu, dia bertemu Laila dan mula mencintai wanita itu. Dia yang pada mulanya seorang kaki perempuan akhirnya berubah demi mendapatkan cinta Laila.

No comments:

Post a Comment