SAYA SUKA BLOG INI

Jana Pendapata Anda

INFO TERKINI

Thursday, July 21, 2011

KEGIATAN ANWAR IBRAHIM BERI TEKANAN MALAYSIA

Kerajaan perlu bertindak menyekat segala kegiatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipercayai giat membina rangkaian dan memperkukuhkan hubungan dengan Indonesia.

Ini kerana kegiatan Ketua Pembangkang itu dalam memberi tekanan antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia sangat berbahaya kepada keselamatan negara.

Pensyarah Geopolitik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, jika benar kegiatan seperti itu berlaku maka ia bukan sahaja akan memporakperandakan hubungan antara kedua-dua negara malah turut menjejaskan imej kerajaan di peringkat global.

"Jika kemungkinan ini berlaku, ia satu petanda yang tidak sihat. Saya lihat tindakan itu tidak sesuai dengan status beliau sebagai ahli politik kanan. Ini kerana kalau masalah negara kita diperjelas, dibentang dan dikritik di luar negara, ia sudah pasti akan memberi gambaran tidak baik.

"Negara umpama sebuah keluarga, buat apa nak bercerita keburukan ahli keluarga kita kepada orang lain. Kenapa mesti meminta pandangan pihak luar untuk menyelesaikan masalah negara sendiri?" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan Ketua Pembangkang itu memperluaskan pengaruh 'Anwarisme' dengan mengadakan siri jelajah dan dialog bersama rakyat di negara jiran tersebut, baru-baru ini.

Mohd. Fuad berkata, tindakan memburukkan nama negara itu juga seakan-akan memberi ruang kepada pihak luar untuk mencabuli urusan dalaman negara.

Ini memandangkan, kata beliau, banyak ruang yang boleh digunakan dalam menyelesaikan masalah tanpa perlu merujuk kepada pihak luar yang belum tentu memihak kepada negara.

"Mereka (pihak luar) boleh memberi pandangan tetapi penglibatan mereka mesti paling minimum serta tidak boleh mempengaruhi rakyat dan keamanan negara," ujarnya.

Sementara itu Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar beranggapan hanya segelintir pihak sahaja yang masih mempercayai Anwar.

Ini kerana kata beliau, kredibiliti Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sudah jatuh merudum dan tidak lagi dilihat sebagai seorang intelek sebaliknya sebagai pemberontak yang berhadapan dengan keruntuhan moral.

"Itu (membina dan memperkukuhkan rangkaian dengan negara luar) memang taktik Anwar untuk kata dia masih berkuasa. Tetapi keyakinan orang semakin luntur kerana perbuatan memberontak dan tabiat peribadi yang tidak bermoral.

"Sebenarnya yang percaya (dengan Anwar) sedikit, malah boleh dibilang dengan jari. Yang lain diupah," katanya

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails