SAYA SUKA BLOG INI

Jana Pendapata Anda

INFO TERKINI

Sunday, February 13, 2011

HOSNI MUBARAK

hosni mubarak
KAHERAH - Selepas Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden Mesir, timbul spekulasi bahawa beliau akan melarikan diri ke luar negara, lapor beberapa buah akhbar dan laman web semalam.
Hosni, 82, kini dikatakan sedang bersembunyi di sebuah villa miliknya di pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir di Laut Merah selepas beliau meninggalkan Istana Presiden dengan menaiki helikopter kelmarin.
Menurut beberapa sumber diplomatik, antara lokasi yang mungkin menjadi pilihan Hosni dan keluarganya ialah Britain, Perancis, Arab Saudi atau Bahrain.
Isteri Hosni, Suzanne memegang pasport Britain manakala seorang anak lelakinya, Gamal memiliki sebuah rumah besar di Belgravia, London menjadikan Britain pilihan terbaik untuknya tinggal di luar Mesir.
Berbanding Arab Saudi, keluarga itu mungkin akan memilih negara Barat.
Perancis juga boleh menjadi lokasi pilihan buat Hosni. Bekas presiden itu mungkin memilih untuk tinggal di Paris kerana beliau pernah menghabiskan masa di sana sebelum pergi ke Heidelberg, Jerman untuk mendapatkan rawatan sakit belakangnya sebelum ini.
Sumber-sumber menyatakan Hosni juga mungkin memilih untuk tinggal di sebuah rumah di Bahrain.
Beliau dan pemerintah Bahrain, Sheikh Hamad Ibn Isal Al Khalifa merupakan rakan rapat.
Hosni dikatakan amat mempercayai Sheikh Hamad.
Arab Saudi merupakan antara destinasi yang mungkin menjadi tempat tinggal Hosni kerana bekas Presiden Tunisia yang meletakkan jawatan atas desakan rakyat, Zine El Abidine Ben Ali kini dikatakan tinggal di Jeddah, Arab Saudi pada 14 Januari lalu.
Sementara itu, punca Hosni meletakkan jawatan secara mengejut kelmarin disebabkan kata dua yang diberikan tentera kepadanya sama ada berundur atau berlaku satu rampasan kuasa, lapor akhbarWashington Post semalam.
Menurut akhbar itu, Hosni yang memerintah hampir 29 tahun enggan meletakkan jawatan pada Khamis lalu selepas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Leon Panetta memberitahu Jawatankuasa Perisikan Dewan AS bahawa terdapat petunjuk bahawa Hosni akan meletakkan jawatan.
Keengganan beliau meletakkan jawatan itu menimbulkan kemarahan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang pegawai kanan, AS yang namanya tidak didedahkan.
Para pegawai tentera memberi kata dua kepada Hosni supaya meletakkan jawatan beberapa jam sebelum pengumuman peletakan jawatan tersebut diumumkan pada pukul 10 malam waktu tempatan kelmarin. Pengumuman itu dibuat beberapa jam sebelum Hosni meninggalkan Istana Presiden di sini untuk menuju ke pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah bersama beberapa anggota keluarganya.
Ribuan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini dikatakan tahu bahawa Hosni menerima arahan daripada AS supaya beliau meletakkan jawatan.
Sementara itu, warga Mesir semalam masih meraikan perletakan jawatan Hosni yang menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada tentera dengan menangis kegembiraan, melompat, menjerit, menari serta berpelukan antara satu sama lain.
Malah, ada juga yang berdiri tegak tidak percaya dengan apa yang berlaku.
Kaherah juga meriah dengan letupan mercun, bunyi hon kereta dan tembakan yang dilepaskan ke udara.
"Rakyat telah menumbangkan rejim. Ini merupakan hari paling gembira dalam generasi saya," kata seorang penunjuk perasaan, Ali al-Tayab.
Di istana presiden, orang ramai menunjukkan tanda V yang membawa maksud kemenangan dan menjerit: "Bergembiralah rakyat Mesir. Hari ini ialah hari perayaan. Dia sudah meletakkan jawatan."
Sejumlah penunjuk perasaan juga dilihat membersihkan Dataran Tahrir di Kaherah daripada sampah sarap dan bangkai kereta yang terbakar setelah ia menjadi tempat perhimpunan penunjuk perasaan sejak 25 Januari lalu.
Para penunjuk perasaan menuntut Hosni meletakkan jawatan kerana pemerintahannya yang menindas kebebasan bersuara selain tidak membawa kemakmuran ekonomi kepada ramai penduduk yang masih miskin di Mesir.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails