SAYA SUKA BLOG INI

Jana Pendapata Anda

INFO TERKINI

Monday, February 21, 2011

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dengan jelas diperuntukkan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Sebagai undang-undang utama negara Perlembagaan menjadi tonggak dan kayu ukur bagi semua undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, Dewan-Dewan Undangan Negeri dan segala dasar kerajaan. Peruntukan di bawah Perkara 152 itu tidak boleh dipinda oleh Parlimen kerana kata putus terletak di tangan Majlis Raja-Raja. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan di bawah Perkara 159(5). Kedudukan yang sedemikian memang wajar kerana bahasa Melayu telah meresap ke dalam batang tubuh Perlembagaan; contohnya definisi orang Melayu juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 160(2). Keakraban ini juga kelihatan dalam peruntukan di bawah Perkara 10(4) yang turut meletakkan Bahasa Melayu sebagai antara perkara-perkara yang kedudukannya tidak boleh dipersoalkan atas nama kebebasan bersuara. Ia malah boleh dikatakan sebagai sudah mencapai tahap sakral. Meskipun begitu Perlembagaan menyedari bahawa kedudukan sedemikan tidak harus digunakan secara zalim dan menyekat atau digunakan secara membuta tuli. Inilah yang dapat dikatakan apabila kita meneliti fasal-fasal tertentu di bawah Perkara 152. Fasal (1)(a) dan (b) umpamanya membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain asalkan ia tidak dalam konteks kegunaan rasmi. Ini semua sebenarnya telah diamalkan sebelum dan selepas merdeka. Hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini sahaja beberapa undang-undang dan dasar tertentu yang berlawanan dengan peruntukan dan amalan Perlembagaan dimulakan. Ini menimbulkan persoalan yang sangat serius tentang kesahihan mereka. Dan kelihatannya tindakan tersebut juga menimbulkan banyak kesulitan dan kekeliruan. Selain itu kelemahan dan kealpaan pelaksanaan Perkara 152 tidak harus dibenarkan untuk mencairkan peruntukan dan kehendak Perkara 152 yang sebenarnya turut didokong oleh Suruhanjaya Reid sendiri. Kita percaya mahkamah akan menghukumkan isu ini dengan betul kerana para hakim telah diwajibkan oleh mahkamah untuk memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan melalui seksyen 1 Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails