RAHSIA percintaan yang berlangsung selama enam tahun disimpan rapi penyanyi dan pengacara, Farah Diana Anuar atau Farah, 26.
Sehinggalah tahun lalu dia mula membuka mulut mengenai jejaka yang berjaya memenangi hatinya seorang usahawan, Johan Johari, 26, berasal dari Bukit Jambul, Pulau Pinang.
SAYU...Farah dan ibunya tidak dapat menahan perasaan hiba kerana akan berpisah selepas ini apabila mengikut suaminya menetap di Pulau Pinang.
PENYATUAN FAMILI...pasangan mempelai bersama keluarga Johan yang datang dari Pulau Mutiara.
ALA TITANIC...Farah dan Johan bergambar di depan kapal tempat mereka selamat diijab kabulkan.
TURUT RAI...bintang Akademi Fantasia (AF), Hazama turut hadir di majlis pernikahan Farah dan Johan.
Walaupun sudah mengikat tali pertunangan Disember lalu, Farah masih lagi berahsia mengenai Johan yang hanya mahu dikenali dengan panggilan ‘J’ sebelum ini.
Apabila ditanya lanjut terutama membabitkan kisah cinta mereka, bintang Akademi Fantasia 2 (AF2) itu sekadar menjawab, nantikan saja apabila mereka benar-benar bernikah nanti.
Jumaat lalu Farah akhirnya merungkai segala persoalan timbul membabitkan hubungannya dengan Johan. Hanya dengan sekali lafaz, mereka selamat dinikahkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohd Sheikh Abd Aziz de�ngan disaksikan kira-kira 60 anggota keluarga kedua-dua mempelai.
Menarik pula majlis pernikahan berlangsung di atas kapal persiaran, Cruise Putrajaya sekali gus mencipta sejarah pasangan pertama mengadakan majlis pernikahan di atas kapal.
Pada majlis pernikahan itu, Johan menyerahkan mas kahwin berjumlah RM2,500 dan wang hantaran RM25,185.00 bersempena dengan tarikh lahir Farah diiringi tujuh dulang hadiah dibalas sembilan oleh pihak perempuan.
Ditemui sebaik majlis selesai, Farah menjelaskan dia pertama kali bertemu Johan sewaktu menjayakan persembahan di negeri kelahiran suami itu.
Rakan Johan waktu itu bertindak sebagai penganjur persembahan yang dijayakan.
“Pertama kali kami bertemu adalah di lobi hotel tempat saya menginap. Kami saling berpandangan dan Johan memberikan senyuman.
“Waktu itu hati saya terdetik. Mungkin inilah yang dikatakan orang cinta pandang pertama, dari mata terus turun ke hati.
“Kemudian kami bertemu lagi beberapa kali di lobi hotel itu apabila saya hendak mengadakan persembahan. Mungkin dia berada di situ untuk bertemu dengan rakannya,” kata Farah.
Kata Farah lagi, dia benar-benar berasa ada sesuatu yang istimewa pada Johan. Bagaimanapun perasaan berbunga itu disimpan kedap di dalam hati.
Penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Antara Dua itu, sekali lagi terkejut apabila melihat ayahnya mesra berbual dengan Johan bersama rakannya. Ternyata Johan agak berani.
“Menerusi ayah juga saya memperoleh nombor telefon Johan. Pada peringkat awal, saya cuba menyamar dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Johan memberikan maklum balas.
“Saya masih belum memberitahu identiti sebenar sehinggalah apabila dia menghubungi saya. Waktu itulah saya memperkenalkan diri,” katanya.
Sepanjang enam tahun menjalinkan hubungan jelas Farah, dia turut berdepan pelbagai dugaan terutama sepanjang tempoh bertunang. Apatah lagi percintaan berlangsung secara jarak jauh.
“Pada peringkat awal memang kami kerap bertemu iaitu sebulan sekali dan lama kelamaan dua bulan sekali dan tiga bulan sekali.
“Kami terpaksa menjalani hubungan ini sebaik mungkin walaupun payah kerana jarak jauh. Ada rakan sebelum ini turut menjalani percintaan jarak jauh putus di tengah jalan dan saya takut ia turut berlaku kepada saya. Namun syukur kerana sepanjang tempoh itu Johan menunjukkan kesungguhan,” katanya.
Jelas Farah lagi, sepanjang tempoh itu dia turut menduga bagi melihat sejauh mana kesungguhan dan sayangnya suaminya itu terhadapnya, sekali gus membuka pintu hati untuk menerima Johan.
“Selepas setahun kami berhubungan, saya pernah ‘melarikan diri; daripada Johan selama enam bulan. Setiap kali dia menghubungi saya mendiamkan diri.
“Sampaikan adik menegur mengapa saya tidak menjawab panggilan Johan. Kata saya. biarkan kerana saya mahu melihat sejauh mana dia benar-benar mahu dan sayangkan saya.
“Sepanjang masa saya lihat Johan terus menghubungi saya. Kalau lelaki lain mungkin mereka sudah mencari pengganti, tetapi dia tidak. Selepas tempoh itu kami bertemu kembali dan saya lihat dirinya seperti tidak terurus kerana terlalu merindui saya, mungkin. Terus saya yakin bahawa Johan benar-benar menyayangi diri saya,” katanya.
Bagi Johan sendiri sewaktu pertama kali berkenalan dia tahu Farah seorang penyanyi, tetapi tidak menyedari isterinya itu artis popular memandangkan dia sendiri kurang mengikuti perkembangan industri hiburan tempatan.
“Sewaktu Farah menyamar saya dapat rasakan bahawa itu dia, tetapi saya sengaja buat-buat tidak tahu. Selepas tahu identitinya yang sebenar barulah kami mula berkenalan lebih rapat.
“Waktu itu juga barulah saya tahu bahawa Farah pernah menyertai AF2 dan menyaksikan kembali rancangan realiti TV itu kerana sering di ulang tayang. Sejak itu saya sering mengikuti perkembangannya,” katanya.
Johan turut menafikan bahawa sebaik berkenalan dia sering mengawal kerjaya seni Farah dan memintanya agar bertudung.
Apa yang dilihat peminat dan umum atas perubahan berlaku kepada isterinya itu datang tanpa dipaksa.
“Saya mula yakin terhadap Farah selepas membawanya bertemu dengan keluarga. Saya lihat dia begitu senang dan mudah bergaul dengan semua ahli keluarga saya. Saat itu saya rasakan dialah wanita tepat untuk dijadikan isteri. Saya melamar Farah pada 2008, bagaimanapun kerana kesibukan kerja menyebabkan keputusan untuk bertunang dibuat akhir tahun lalu,” katanya.
Seperti juga Farah, Johan turut beberapa kali menguji isterinya bagi melihat sejauh mana dia menyayangi dirinya. Bagaimanapun apabila ditanya ujian yang bagaimana dia tidak dapat ingat.
Selepas bernikah, Johan mahu Farah tetap meneruskan kerjaya seninya seperti biasa dan dia tidak pernah menghalang.
Pada majlis itu, Farah turut membuat kejutan kepada Johan apabila memberitahu bahawa mereka akan berbulan madu di Maldives seperti apa yang diimpikan suaminya.
Mengikut perancangan awal mereka tidak memikirkan soal itu memandangkan majlis perkahwinan dan pernikahan berlangsung hampir dengan Ramadan yang akan tiba awal Ogos ini.
Namun rezeki menyebelahi pasangan ini apabila mendapat tajaan dari sebuah agensi percutian yang sering bekerjasama dengan Farah sewaktu dia menjayakan rancangan Rasa Halal Orient.
Majlis persandingan pasangan ini berlangsung kelmarin di Pusat Maritim Putrajaya bertemakan ‘Love Lake Wedding.’
Selepas ini Farah akan mengikut suaminya menetap di Pulau Pinang. Bagaimanapun dia akan pulang ke Kuala Lumpur sekiranya ada tuntutan kerja.
tahniah kepada mempelai.. tersenyum membaca kisah cinta mereka.. Moga kebahagian sentiasa melimpahi mereka. InsyaAllah.
ReplyDelete