PEMAIN tengah Singapura, Mustafic Fahrudin menganggap antara jalan terbaik menghalang Malaysia daripada mara adalah dengan menyekat pergerakan penyerang berbisa Mohd Safee Sali.
Dia berkata, Safee adalah penyerang terbaik di rantau ini dan kehebatannya terbukti dengan menyumbat dua gol dalam pertemuan pertama yang dimenangi Singapura 5-3 pada aksi pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Sabtu lalu.
“Saya fikir Safee penyerang terbaik Asia Tenggara, saya cukup mengenalinya kerana saya juga bermain di Indonesia. “Dia penyerang terbaik ketika ini. Jika kami menyekat Safee bermakna kami akan menyekat Malaysia, jadi kami perlu memberi perhatian lebih kepadanya,” katanya yang ditemui Arena Metro sebelum sesi latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Pemain kelahiran Yugoslavia yang diberikan taraf kerakyatan dan mula mewakili skuad Singa pada 2006 itu berjaya meledak satu gol dalam perlawanan pertama menentang Malaysia di Stadium Jalan Besar.
Katanya, walaupun bakal berdepan tugas sukar beraksi di hadapan lebih 85,000 penyokong dalam aksi kedua ini, Singapura kini berada dalam kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014.
“Malaysia perlu menang dan perlu mencari dua gol, jika kami dapat menjaringkan satu gol pasti akan menyukarkan mereka untuk bangkit,” katanya.
No comments:
Post a Comment