TENTUNYA ramai yang tertanya-tanya sama ada benar Shaheizy Sam dan Lisa Surihani sudah mendirikan rumah tangga sehingga memperolehi seorang anak perempuan yang sangat comel bernama Amy.
Sebenarnya, itu adalah antara jalan cerita yang dipaparkan dalam filem terbaharu keluaran Metrowealth Pictures berjudul Sekali Lagi yang menggandingkan kedua-dua artis popular tanah air serta pelakon cilik Mia Sara Nasuha yang masih lagi ditayangkan.
Menurut Sam, kali pertama menerima tawaran untuk berlakon dalam filem tersebut, dia mula tertarik dengan wataknya sebagai Arman yang ternyata cukup berbeza berbanding filem lakonannya sebelum ini.
"Kalau selama ini saya lebih dikenali dengan watak yang aksi dan komedi, namun untuk filem ini saya membawakan watak seorang lelaki yang melalui kehidupan seperti kanak-kanak.
"Malah, saya akui memang agak sukar untuk membawakan watak tersebut dan memamg ia sangat berat dan mencabar. Namun, saya beruntung kerana digandingkan dengan pelakon-pelakon lain yang cukup hebat,": ujarnya.
Ditanya mengenai persamaan watak Arman dengan Rizwan Khan yang dilakonkan oleh Shah Rukh Khan menerusi filem My Name Is Khan, Sam menjelaskan kedua-dua watak tersebut ternyata begitu berbeza sama sekali.
Ujarnya, watak Rizwan Khan dalam filem berkenaan adalah penghidap autisme. Sedangkan dalam filem terbarunya itu, Arman adalah seorang lelaki yang mempunyai tumor di otak.
LISA dan Sam merupakan teraju utama filem Sekali Lagi.
"Pada asalnya, Arman adalah seorang lelaki normal dan kemudian bertindak meninggalkan isterinya, Sheila setelah mengetahui dia ada tumor tanpa mengetahui isterinya sedang mengandung.
"Selepas menjalani pembedahan, dia terus hilang ingatan dan kehidupannya menjadi seperti kanak-kanak semula. Sebab itu dia rapat dengan Amy yang sebenarnya adalah anaknya sendiri," jelas Sam mengenai filem yang sudah lebih seminggu ditayangkan di pawagam itu.
Bagi Lisa pula, dia sangat beruntung kerana diberi peluang untuk bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Sam, Bront Palarae, Kartina Aziz dan Mia Sara dalam filem tersebut.
Menurutnya, pengarah Hashim Rejab turut memberikan kebebasan kepada pelakon untuk membawakan watak masing-masing dengan cara tersendiri dan kebanyakan babak yang dilakonkan adalah perbincangan sesama pelakon tanpa menjejaskan skrip asal.
"Semasa menjalani penggambaran, kalau ada waktu rehat atau masa terluang, biasanya kami semua akan duduk berbincang bersama-sama dengan pengarah dan masing-masing diberi peluang memberikan idea yang menarik untuk memantapkan lagi jalan cerita.
"Kerjasama dengan pelakon-pelakon lain juga sangat baik. Walaupun dalam filem ini saya dan Sam kali pertama menjadi pasangan suami isteri, namun tidak sukar untuk mencari keserasian bersama," ujarnya.
Mengenai watak Shiela yang dibawakannya pula, Lisa menyatakan ia adalah satu karektor yang agak mencabar untuk membawakan watak sebagai seorang ibu yang memiliki seorang anak memandangkan dia belum pernah berkahwin dan mengandung.
DUA pelakon muda ini merupakan antara bintang tempatan paling popular masa kini.
"Dalam drama bersiri Adamaya watak saya juga adalah seorang ibu, namun dalam filem ini ia agak berbeza kerana Shiela adalah seorang wanita yang telah ditinggalkan suami tanpa sebab dan memang banyak bermain dengan perasaan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment