SAYA SUKA BLOG INI

Jana Pendapata Anda

INFO TERKINI

Wednesday, October 19, 2011

MALAYSIA DILANDA HANTU SERAM


ISU filem tempatan yang membanjiri pawagam sejak kebelakangan ini menjadi bualan banyak pihak. Ia dikomen oleh banyak pihak termasuklah bekas Perdana Menteri. Tun Dr. Mahathir Mohamad kira-kira dua minggu lalu.

Filem-filem seram antara lain dikatakan banyak membawa implikasi kurang sihat ke atas pemikiran para penonton. Secara tidak langsung isu itu turut mengheret Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) untuk tampil ke depan.

Ini kerana, PFM yang menaungi para penerbit filem tanah air berasa bertanggungjawab memperjelaskan isu tersebut. Ia juga dilihat sebagai salah satu cara PFM bagi membela ahli-ahlinya dalam menangani isu itu.

PFM tidak terkecuali memberikan pandangannya bagi mengurangkan kebanjiran filem-filem seram tempatan. Presiden PRM, Datuk Paduka Shuhaimi Baba berkata, antaranya dengan menggunakan dana sedia ada.

Menurutnya, PFM mencadangkan agar para penerbit, pengarah atau penulis skrip diberi bantuan daripada Dana Perkembangan Projek bagi menggalakkan mereka mencari jalan cerita selain daripada filem seram.

"Saya mahu mencadangkan agar golongan terbabit diberi bantuan daripada Dana Perkembangan Projek atau Developement Fund Project yang telah disediakan sebelum ini. Ia sebagai suatu galakan untuk mereka.

"Daripada dana itu ia boleh digunakan bagi menjalankan penyelidikan supaya mereka dapat mencari idea dan jalan cerita yang lain selain daripada cerita-cerita seram. Penulis skrip paling utama dalam projek seperti ini.

"Dana sebanyak 15 hingga 20 peratus peruntukan daripada kos bajet pembikinan sesebuah filem itu boleh disaluran kepada golongan terbabit," katanya pada sidang akhbar di Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Pada sidang akhbar itu, Shuhaimi bersama Setiausaha PFM, Norman Abdul Halim dan Naib Presidennya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri tampil menjelaskan isu yang sedang hangat diperkatakan dalam dunia perfileman hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Shuhaimi menafikan berlakunya lambakan filem-filem seram sejak kebelakangan ini kerana katanya daripada 42 filem cereka tempatan yang dihasilkan tahun ini cuma terdapat 18 sahaja filem seram.

"Daripada jumlah 18 filem seram itu pula, hanya enam daripadanya adalah filem komedi seram. Jumlah filem-filem seram itu juga tidak termasuk filem-filem luar seperti daripada Thailand, Hong Kong ataupun Hollywood.

"Dalam hal ini, saya sendiri tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia membabitkan soal bisnes. Ahli-ahli PFM mempunyai hak untuk menghasilkan filem yang mereka suka mengikut pasaran semasa. Mereka semua mengikut trend.

"Mereka mempunyai data dan asas yang kuat berdasarkan realiti dan trend semasa dalam dunia perfileman. Kami memberi maklum balas dan data tentang kecenderungan para penonton termasuklah dalam filem seram," katanya.

Bagi mengatasi masalah itu PFM bercadang untuk mengadakan pertemuan ataupun menghantar surat penjelasan kepada Dr. Mahathir bagi menjelaskan isu itu. Ia bagi menjaga kepentingan ahli-ahli PFM pada masa depan.

Selain itu, Shuhaimi juga berharap PFM akan mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak yang terbabit dalam industri ini bagi menyelesaikan isu itu. Antaranya dengan Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPF), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Naguib Razak berkata, perbadanan itu memandang teguran Dr. Mahathir selain pada masa sama memahami tanggungjawab yang terpaksa digalas oleh ahli-ahli PFM dalam menerbitkan filem.

"Finas akan mengumpulkan data-data untuk rujukan para penerbit filem. Pada masa sama kami juga akan mengadakan pertemuan dengan mereka bagi berbincang bagaimana mahu menghasilkan lebih banyak genre filem.

"Contohnya dalam genre fiksyen sains yang masih belum banyak diterokai dalam industri perfileman di negara ini. Saya anggap lambakan filem seram hanya trend sahaja. Di negara Thailand, Korea dan Jepun trend itu semakin berkurangan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails