SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Thursday, April 10, 2014

HAFIZ AF BERCINTA DENGAN ADIRA




POPULARITI lagu Ombak Rindu membuatkan pasangan Hafiz Suip dan Adira Suhaimi bagaikan saling berkait dan tidak boleh dipisahkan, walaupun waktu sama mereka pernah berdepan de­ngan kontroversi kisah cinta tidak kesampaian.

Disebabkan sering ditemukan kembali untuk beberapa siri persembahan termasuk per­sembahan sempena Minggu Setiausaha anjuran Coop MATRADE dengan kerjasama AMI Global Sdn Bhd pada 22 April ini, timbul gosip me­ngatakan Hafiz dan Adira kembali bercinta.

Ia dikukuhkan lagi apabila Adira baru-baru ini dikatakan putus cinta dengan kekasihnya dan kembali kepada penyanyi yang cukup popular dengan lagu Bahagiamu Deritaku.

Sudah tentu khabar yang dihebohkan itu tidak masuk akal memandangkan Hafiz sebelum ini sudah menjelaskan mempu­nyai teman istimewa dan hubungan mereka masih baik. Sementara kekasih Adira sebelum ini memberi kenyataan bahawa dia dan Adira masih berkawan.
Foto


Pasangan ini juga tidak keberatan dipertemukan untuk satu sesi fotografi khas bersama Selebriti Metro Ahad untuk mempromosikan persembahan Minggu Setiausaha bertemakan A Golden Moment With Hafiz di Sembunyi Spa, Cyberview Resort & Spa.


Kata Hafiz, dia tidak terkesan dengan gosip yang cuba ditimbulkan itu. Dia faham ia disebarkan kerana dia dan Adira pernah bercinta.

“Kami pernah ada ‘cerita’ lalu tetapi tidak bermakna kami tidak boleh berkawan. Tidak pernah sekali pun apabila bertemu kami mengung­kit cerita lama. Apabila bekerja, masing-masing cukup profesional apatah lagi kami berada di bawah bumbung sama, satu pengurusan.

“Dunia hiburan tempatan ini kecil. Kalau bermusuh pun tidak ke mana kerana pastinya akan selalu bertemu dan bekerjasama. Apa yang penting, apabila bekerja saya dan Adira sendiri tahu sampai tahap mana. Begitu juga apabila berkawan,” katanya.

Mengenai pandangan kekasih hatinya dengan situasi ini, kata Hafiz, dia cukup memahami. Malah soal cemburu tidak pernah timbul kerana setiap perkara berlaku dimaklumkan terlebih dulu.

Mengenai persembahan Minggu Setiausaha, Hafiz akui dirinya orang baru dan terharu diberikan peluang menjayakan persembahan khusus untuk setiausaha setiap April. Katanya, dia banyak belajar dan bertanya daripada mereka yang lebih berpengalaman.

“Saya tahu untuk menghiburkan pengunjung sempena Minggu Setiausaha bukan satu kerja mudah terutama dari sudut komunikasi. Saya ada rujuk dengan Datuk AC Mizal kerana dia juga sering mengadakan per­sembahan sempena Minggu Setiausaha. AC banyak memberi cadangan dan buah fikiran.

“Saya masih ada masa untuk merangka corak persembahan. Secara asasnya saya mahu bergembira bersama pengunjung. Saya tidak mahu sekadar menyanyi tetapi dalam waktu sama bermesra dan mahu merakamkan detik indah itu dengan mengambil foto polaroid dan hadiahkan kepada mereka,” katanya.

Apabila membabitkan per­sembahan tertutup dan kalangan penonton pula majoritinya wanita, sering terjadi ada antara penonton yang gagal mengawal perasaan. Adegan memeluk dan mencium pipi penyanyi kesayangan mereka pasti akan berlaku seperti yang pernah terjadi dengan artis lelaki popular sebelum ini.

Kata Hafiz, sekira­nya perkara itu berlaku dia tidak mampu untuk menghalangnya. Malah hendak mengelak daripada perlakuan seperti itu berlaku adalah di luar kemampuannya. Dia tidak berani berjanji ia tidak akan berlaku.

“Saya yakin bahawa penonton yang bakal hadir menyaksikan persembahan kami nanti sedar akan batas-batas. Sekiranya ada yang berbuat demikian, saya percaya mereka menganggap saya seperti adik dan anak dan tidak lebih daripada itu,” katanya yang turut bergandingan dengan Afdlin Shauki, bertindak pengacara majlis.

Adira pula menganggap gosip mengatakan dia kembali bercinta dengan Hafiz adalah perkara biasa dan bukan baru. Malah ia sudah beberapa kali cuba dibangkitkan sebelum ini namun kenyataannya mereka kini hanyalah rakan sesama artis.

“Setahu saya, ramai orang sudah faham dan sedia maklum dengan kedudukan saya dan Hafiz. Tambah pula kami mempunyai lagu duet popular, Ombak Rindu. Disebabkan itu, kami selalu ditawarkan menyanyi bersama. Secara tidak langsung, orang akan sentiasa melihat kami berdua dan dari situlah timbulnya gosip ini.

“Saya sendiri tidak pernah ambil serius gosip itu. Begitu juga de­ngan teman saya. Malah perkara itu tidak pernah meletakkan saya mahupun Hafiz dalam situasi canggung disebabkan kami sendiri sebagai individu tahu apa cerita sebenar­nya,” katanya.

Walaupun menjadi bekas kekasih, kata Adira dia tidak pernah menghadapi masalah bekerja dengan Hafiz kerana mereka cukup profesional. Sebagai kawan, Adira akui Hafiz banyak membantu dan memberi tunjuk ajar bagaimana hendak menjadi penyanyi yang baik terutama dari sudut vokal.

Kata Adira, sekiranya dia bergaduh selepas putus cinta dan bermasam muka de­ngan Hafiz ia tidak akan memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak apatah lagi mereka berada dalam satu pengurusan dan sering bekerjasama.

Sudah tentu pada persembahan nanti mereka akan mendendangkan lagu duet popular mereka, Ombak Rindu. Malah ada perancangan untuk menyampaikan lagu duet Hafiz dengan Datuk Siti Nurhaliza, Muara Hati.

Selain duet dengan Hafiz, Adira turut diberi peluang mendendangkan dua lagu solonya dan mengharapkan ia dapat menghangatkan suasana persembahan.

Kata Adira, sebagai penyanyi yang selalu bekerja tanpa mengira waktu, pastinya masa terluang dihabiskan dengan melakukan perkara yang dapat menenangkan minda dan merehatkan tubuh. Apatah lagi menjelang persembahan besar nanti.

Menyiapkan tubuh dan minda agar sentiasa tenang dan senang dianggap penting. Sebab itulah Adira dan Hafiz memilih untuk menjalani rawatan di Sembunyi Spa, Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya.

Metro Ahad berkesempatan merakamkan beberapa gambar menarik dua artis popular ini sepanjang berada di pusat spa popular itu buat tatapan peminat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails