SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Monday, October 31, 2011

GOSSIP ARTIS MALAYSIA 2011


“I love my wife,” ringkas jawapan Omar Sharif Christopher Layton Dalton sewaktu menjawab gosip dia curang terhadap isterinya, penyanyi terkenal, Ning Baizura Hamzah, 36.

Omar yang menemani Ning sewaktu majlis pelancaran muzik video single terbaru isterinya berjudul Bila di Red Box The Garden, baru-baru ini, enggan mengambil pusing gosip itu walaupun pada mulanya agak terkejut.
Malah, dia langsung tidak bimbang kerana yakin dirinya tidak pernah menduakan Ning, bahkan amat menyayangi wanita yang dinikahi pada 31 Januari 2008 itu.

Ning pula menafikan rumah tangga mereka goyah sebaik gosip mengenai suaminya bermain kayu tiga tersebar. Katanya, sejak berpisah dengan pengurus lama, suaminya yang mengambil alih tanggungjawab itu dan menguruskan karier seninya.



“Apabila abang menjadi pengurus saya, dia perlu banyak keluar bertemu ramai orang, individu tertentu dan pelanggan berbincang mengenai urusan kerja.


Takkanlah Ning Baizura sendiri hendak bercakap mengenai harga persembahan. Jadi segala hal membabitkan tawaran dan bayaran, saya serahkan sepenuhnya kepada abang selaku pengurus.

“Tambahan pula sekarang ini saya sedang merencanakan konsert. Suami saya terpaksa menjaja nama isterinya untuk mendapatkan tajaan. Saya anggap mereka yang menyebarkan gosip ini bukan untuk memporak-perandakan hubungan kami tetapi mungkin orang ramai mengambil berat terhadap saya dan Omar.

“Ketika Omar sedang bekerja pula, saya lebih senang tidak masuk campur atau sentiasa ‘melekat’ bersama suami sepanjang masa,” katanya.

Akui Ning, dia sedikit pun tidak pernah mencurigai suaminya kerana menyifatkan Omar seorang yang lurus. Malah, langsung tidak terkejut apabila mendengar gosip berkenaan kerana sudah lali dengan mainan dunia glamor.

“Saya anggap gosip sebegini satu perkara normal. Mungkin tidak bagi abang yang tak biasa dengan perkara semacam ini membuatkan dia agak terkejut dan menunjukkan reaksi kurang senang. Malah dia tertanya-tanya gadis Cina mana yang dimaksudkan mempunyai hubungan dengannya,” katanya.

Menyentuh pembikinan klip video Bila yang diterbitkan Universal Music, ia memaparkan unsur kemanusiaan. Lagu yang dimuatkan dalam album terbarunya, Dewa, kini sudah pun memasuki senarai karaoke RedBox.

Ning juga dalam perancangan mengadakan konsert di KL Life Centre pada 2 dan 3 Disember dan segala kos ditanggung sendiri Ning melalui syarikatnya, HappeNings.

Berbaur rasa kecewa di hati, Ning mengakui tiada pihak yang sudi menaja konsertnya meskipun dia bukanlah anak kecil di persada seni suara, sebaliknya tahun ini genap 18 tahun berkelana sebagai penghibur.

“Pada awalnya ada syarikat telco yang menyatakan persetujuan untuk menaja konsert ini tetapi mereka menetapkan beberapa syarat yang permintaan mereka itu tidak mampu saya penuhi. Saya pasti ia akan membebankan saya dan peminat kelak.

“Harus saya akui terkilan dan kecewa kerana untuk mengadakan konsert menggunakan belanja yang besar. Namun, jika hendak mengharapkan ihsan penaja, sampai bila pun mungkin saya tidak akan mengadakan konsert. Kali terakhir saya mengadakan konsert pada 1996.

“Tidak mengapalah, mana tahu selepas konsert ini, ramai penaja akan membuka mata. Tambahan pula, saya merancang untuk mengadakan konsert bagi meraikan ulang tahun pembabitan saya dalam nyanyian yang ke-19 diikuti konsert besar sempena 20 tahun dalam arena seni suara,” katanya.

Konsert itu bakal membawa penonton mengembara bagi mengimbas semua perjalanan seninya. Setakat ini, perkembangannya sudah 80 peratus dan tiket dijual pada harga RM150, RM200, RM225, RM250 dan RM375. Bagi pembeli tiket VIP (RM375), akan didaftar sebagai ahli pusat pelangsingan badan, Medishape secara percuma.

Semua tiket akan diberikan diskaun sebanyak 10 peratus kepada yang membelinya bermula 17 hingga 31 Oktober. Untuk membeli, bolehlah layari https://online.tickethotline.com.my.

Barangan cenderamata Ning Baizura turut dijual pada harga promosi bernilai RM100 dan RM75 (pre purchase) yang terdiri daripada pelbagai barangan eksklusif.

Tidak terbatas kepada konsert saja, Ning juga mahu menerbitkan biografi yang tidak hanya mencatatkan perjalanan seninya yang penuh ranjau tetapi juga menyelami insan berasal dari Kajang, Selangor ini secara lebih dekat.

Segalanya akan diceritakan Ning mengenai apa yang pernah berlaku pada dirinya pada awal pembabitannya hingga kini kerana Ning merasakan masyarakat yang mengenali dirinya patut tahu kebenaran di sebalik setiap kisah tanpa berselindung.

Wanita berkulit sawo matang ini sedar kehadiran biografi itu akan membuka semula kisah lama yang boleh mengembalikan ingatan peminat terhadap kontroversi memalukan yang pernah terpalit pada dirinya.

“Perjalanan seni seorang insan bernama Ning Baizura banyak yang pahit daripada indah. Saya pernah berjalan kaki dan dihina masyarakat. Saya mahu peminat tahu untuk berada di tahap ini, saya sudah merasai jatuh bangun dan bagaimana saya bangkit daripada kegagalan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails