SAYA SUKA BLOG INI

Jana Pendapata Anda

INFO TERKINI

Monday, October 25, 2010

1 Malaysia Sejuta Puisi

1Malaysia Sejuta Puisi catat rekod
Oleh Nazmi Yaakub
bnews@bharian.com.my
2010/10/25
PEMBACA puisi 1Malaysia Sejuta Puisi bergambar kenangan di Perpustakaan Negara Malaysia, semalam.

Inisiatif Perpustakaan Negara, UPSI diiktiraf Malaysia Book of Records

KUALA LUMPUR: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) menerusi pembacaan rangkap puisi 1Malaysia terbanyak sempena acara 1Malaysia Sejuta Puisi di sini, semalam.
Pada acara itu, 360 pembaca puisi pelbagai bangsa di kalangan kakitangan PNM, pensyarah dan pelajar UPSI, penyair, selebriti serta pengguna perpustakaan membacakan 10,118 rangkap puisi moden dan tradisional selama 34 jam 36 saat tanpa henti bermula sejak 12 tengah malam Sabtu lalu.
Sijil itu disampaikan pegawai MBR, Zulhairi Md Zain kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Penerangan), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Dr Rothiah Omar di majlis penutup 1Malaysia Sejuta Puisi, semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Penasihat PNM, Datuk Dr Halim Shafie; Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz serta Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin.

Terdahulu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pemimpin, cendikiawan, sasterawan, budayawan, teknokrat, pelajar dan orang ramai perlu menggembleng tenaga dan akal fikiran untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mampu mengungkapkan semua bidang ilmu termasuk ekonomi, politik, sosial, sains dan teknologi.

Katanya, dengan peruntukan RM200 juta untuk membangunkan industri kreatif pada 2011, beliau yakin sedikit sebanyak dapat membantu penggiat seni puisi untuk menjalankan program dan aktiviti merakyatkan seni budaya warisan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
“Antaranya memindahkan lebih banyak karya puisi untuk dijadikan filem dan lagu serta menerbitkan buku antologi puisi,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Rothiah di majlis itu.

Sementara itu, Raslin berkata, PNM akan melanjutkan waktu operasinya sehingga jam 9 malam khususnya pada hujung minggu mulai tahun depan, sekiranya kajian yang akan dijalankan mendapati ia bakal mendapat sambutan pengguna perpustakaan.

Katanya, PNM pernah melanjutkan waktu operasinya selama tiga bulan pada 2004, tetapi tidak meneruskannya kerana kurang mendapat sambutan orang ramai berbanding kos yang ditanggung.

“Bagaimanapun, dengan kesedaran rakyat terhadap ilmu dan budaya membaca yang semakin tinggi, kami bersedia untuk melanjutkan waktu operasinya sekurang-kurangnya pada musim peperiksaan,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/1MalaysiaSejutaPuisicatatrekod/Article

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails