Pengerusi Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT), Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim, semalam turut membuat laporan polis berhubung sampul surat yang diterimanya Selasa lalu mengandungi rakaman Video Cakera Padat (VCD) seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Thasleem berkata, beliau menerima sampul itu yang dihantar ke pejabatnya di Jalan Damansara, Petaling Jaya, namun hanya menyedari VCD yang dikatakan membabitkan pemimpin pembangkang itu, petang kelmarin.
“Ketika kakitangan saya memberikan sampul itu, saya tidak mengesyaki apa-apa dan membiarkannya tanpa membuka berikutan bebanan kerja banyak. Namun petang kelmarin baru tergerak hati untuk membukanya apabila melihat setem di sampul berkenaan adalah dari Thailand.
“Bagaimanapun, sebaik membuka sampul itu, saya terkejut melihat sekeping VCD yang dibalut menggunakan kertas menu restoran Iran di Bangkok dan Pattaya sebelum menontonnya,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, di sini, semalam.
Sabtu lalu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam turut membuat laporan polis di balai polis sama berhubung penerimaan VCD yang dipercayai diperoleh dari Thailand.
Mengulas lanjut rakaman selama 16 minit yang mengandungi sari kata dalam bahasa Thailand itu, Thasleem berkata, terdapat tiga individu termasuk dua lelaki dalam video berkenaan namun enggan mengulas lanjut identiti individu terbabit.
“Saya tampil membuat laporan polis atas dasar tanggungjawab sebagai umat Islam. Kita tidak boleh berdiam diri apabila melihat video seks boleh tersebar di merata tempat. Justeru, saya minta polis menjalankan siasatan terhadap VCD yang diterimanya dan bahan bukti itu sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.
Beliau turut meminta semua mufti di negara ini supaya tidak berdiam diri berhubung isu penyebaran VCD itu berikutan ia menjejaskan imej Islam di negara ini.
No comments:
Post a Comment