ADA makna bergulung-gulung di sebalik senyuman yang dilemparkan oleh seorang daripada tiga beradik jutawan, sejurus diajukan pertanyaan berhubung kisah peribadinya.
Apatah lagi, pemilik nama Yusry Abdul Halim mudah dicemburui banyak lelaki kerana sering terkait dengan lirikan dan lenggok selebriti jelita seperti Maya Karin, Julia Ziegler, Tiz Zaqyah dan Kilafairy.
Air mukanya juga seolah-olah sedang bersedia dengan jawapan yang tersusun rapi. Jawapan itu pastinya mampu disenangi hati insan yang sedang hangat bertakhta di hatinya.
Terbaru, duda popular itu kononnya sedang dilamun asmara dengan aktres berbakat, Lisa Surihani. Kemesraan mereka sukar ditepis apabila ramai yang mendakwa, pasangan itu sedang menuju ke titik serius dalam perhubungan.
"Memang saya sedang kenal dan rapat dengan Lisa. Saya boleh katakan, kami dalam proses untuk lebih mengenali hati budi masing-masing. Boleh dikatakan, hampir setiap hari kami keluar bersama untuk menonton wayang, makan atau lepak berjam-jam," akuinya yang tidak lekang mengorak senyuman.
Jujur ingin berkongsi tentang hubungan itu, Yusry menjelaskan, dia selesa mendekati Lisa memandangkan wanita muda bijak menyesuaikan diri dan tidak kekok dengan personaliti dirinya.
"Walaupun jarak usia agak jauh iaitu 12 tahun, Lisa boleh diajak bersembang dalam apa sahaja topik. Dia sebenarnya seorang yang matang, sopan dan seronok didampingi," puji Yusri melambung tinggi.
Tidak menafikan sering berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS), anak kedua daripada empat beradik itu berterus-terang, keakraban mereka sudah pun diketahui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.
"Kalau tak lepak di luar, saya akan berkunjung ke rumah keluarga Lisa," ujarnya tanpa berselindung.
Jika benar ada putik kasih sedang subur di hati Yusry dan Lisa, ada harapan, kesendirian Yusry tanpa suri sedang berganti bulan terang dipagar bintang.
No comments:
Post a Comment