PERCAYA ATAU TIDAK?
JOM BACA PENGAKUAN NORA DANISH
NORA DANISH
Bukan mahu menunjuk, jauh sekali bermegah. Niatnya cuma mahu memaklumkan
yang dia kini rapat dengan ‘seseorang’ dan tidak perlu dikaitkan lagi dengan
mana-mana pelakon lelaki.
Itulah jawapan jujur Nora Danish apabila ditanya mengapa kebelakangan ini
kerap memuat naik gambarnya bersama Nadeem Nazri, anak Menteri Pelancongan dan
Kebudayaan, Datuk Seri Mohammed Nazri Aziz menerusi laman sosial Instagram.
Kata Nora, tujuan dia membuka akaun Instagram untuk berkongsi aktiviti
terbarunya dengan peminat yang banyak menyokong kerjayanya selama ini.
Baginya, tidak salah andai dia bersikap jujur dengan mendedahkan sisi peribadi
selain memperkatakan perihal kerjaya.
Bagaimanapun, tindakannya mengundang pelbagai reaksi mereka yang melihat. Ada
yang suka dan mendoakan hubungan pasangan ini kekal hingga ke jenjang pelamin,
tidak kurang juga mengkritik pedas berikutan gambar ‘sosial’ Nadeem di Internet
sebelum ini.
Apapun pandangan masyarakat, Nora tahu apa yang terbaik buat dirinya, malah
sedikit pun tidak goyang dengan kata-kata dilemparkan. Yang pasti, dia
mengenali keperibadian sebenar Nadeem dan senang berkawan dengannya.
“Ada yang tuduh Nadeem liar tetapi bagi saya, dia lelaki baik dan sangat
bertanggungjawab. Kami kenal sejak tujuh tahun lalu, tetapi rapat kebelakangan
ini.
“Dengan memuat naik gambarnya di Instagram, saya harap cerita kononnya saya bercinta
dengan pelakon itu dan pelakon ini dapat dihentikan.
“Dan terbukti tindakan itu betul apabila saya tidak lagi dikaitkan dengan
pelakon lelaki yang pernah bekerja dengan saya dan juga bekas suami,” katanya.
Nora yang tampil manis dalam busana rekaan Adila Long akui selesa dengan
Nadeem, tetapi belum ada perancangan untuk menempuh alam perkahwinan.
Pengalaman lalu mengajarnya berhati-hati dalam membuat keputusan, begitu juga
Nadeem.
“Kami sama-sama pernah gagal dalam perkahwinan pertama. Saya dikurniakan
seorang cahaya mata, begitu juga dia. Andai mahu berumah tangga, kami perlu
fikir masak-masak.
“Bagi saya, dalam memilih pasangan, biarlah orang itu ‘soulmate’ kita kerana
persefahaman itu penting. Kami pernah berbincang apa perkara yang perlu dielakkan
supaya kesilapan lama tidak berulang lagi.
“Kami pun bukan sempurna, ada kekurangan yang perlu diperbaiki jika mahu
pastikan hari-hari mendatang lebih bahagia,” katanya tenang.
Tambah Nora, antara kriteria yang perlu ada jika mahu hidup bersamanya, insan
itu mestilah meletakkan keluarga sebagai keutamaan, menyayangi anak, ibu serta
kakaknya. Selain itu, bakal suaminya mesti bekerjaya serta rajin berusaha.
“Anak adalah segala-galanya bagi saya dan saya perlu utamakan dia. Andai Rayqal
suka, baru saya akan melangkah ke fasa lebih serius. ‘Dia’ juga mestilah boleh
terima ibu dan kakak saya,” katanya.
Mengenai kata-kata orang mengatakan dia hanya memilih anak menteri, Nora tenang
menjelaskan, bukan itu pintanya, tetapi itulah yang datang. Soal takdir tidak
perlu dipertikai kerana semua itu ketetapan Allah SWT.
Tegasnya, selepas kembali hidup solo, dia pernah bercinta dengan orang
kebanyakan, tetapi hubungan itu tidak berpanjangan.
“Saya tidak pernah menetapkan bakal suami mesti anak menteri atau datang dari
golongan VIP. Orang tidak tahu saya pernah berkawan dengan orang biasa kerana
ketika itu media sosial belum popular. Berbeza dengan Nad (Nadeem), orang tahu
sebab saya muat naik gambarnya dalam Instagram.
“Saya bersyukur kerana sering dipertemukan dengan lelaki baik. Bekas kekasih
saya sebelum ini pun baik orangnya tetapi apa boleh buat, sudah tertulis kami
tidak ada jodoh.
“Kita tengoklah percaturan takdir selepas ini. Saya tidak boleh ramal siapa
bakal suami saya. Ia rahsia Allah SWT dan saya serahkan 100 peratus
kepada-Nya,” katanya.
Mengulas Nadeem ada dalam gambar percutiannya di beberapa negara, tegas Nora,
tiada apa yang perlu dirahsiakan.
Ketika ke Surabaya, Indonesia bagi menjayakan penggambaran lagu runut bunyi
filem Suami Aku Ustaz lakonannya, Nadeem turut serta kerana mahu melihat tempat
cantik di sana.
Katanya, pemergian mereka ditemani ibunya Salimah Talib. Begitu juga ketika ke
Thailand dan Bali, di mana ahli keluarganya turut ada. Malah, Nadeem turut
ditemani rakan ketika ke Bali.
“Ketika pulang ke kampung halaman mak di Myanmar, Nadeem ada sama. Memandangkan
kami rapat, saya minta dia temankan saya dan keluarga atas faktor keselamatan.
“Kami memang mahu ke Myanmar ketika hayatnya kerana moyang selalu sebut mahu
jumpa mak. Bagaimanapun, atas sebab yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa
tangguhkan hasrat itu dan moyang menghembuskan nafas terakhir tanpa sempat
bertemu mak.
“Jadi saya dan kakak temankan mak pulang bertemu keluarga di sana. Nadeem juga
bawa saudaranya. Jadi, tidak timbul isu kerana kami tidak pernah bercuti
sendirian,” katanya.
Mengenai lakonan, Nora yang mendapat pujian kerana lakonannya sebagai isteri
yang bangkit daripada penderaan suami dalam filem Bencinta, kini terikat dengan
penggambaran filem seram Pengantin Malam. Dia sekali lagi digandingkan dengan
Farid Kamil selepas Cuti-cuti Cinta dan Bencinta.
Karya arahan Eyra Rahman itu memulakan penggambaran pada 18 September lalu di
sekitar Kuala Lumpur serta Kuang, Selangor dan dijangka tamat 18 Oktober ini.
Menerusi filem terbitan Metrowealth Pictures (MIG) yang turut dijayakan Nina
Iskandar dan Ellie Suriaty ini, si cantik ini memegang watak Maya yang hilang
ingatan selepas terbabit kemalangan jalan raya.
Dalam kejadian itu, dia melanggar Laila dan gadis itu maut. Selepas sedar
daripada koma, dia berusaha mengembalikan ingatannya. Nora akui watak kali ini
juga berat sebagaimana Bencinta.
“Meskipun penat, saya puas. Menerusi gandingan kali ini, Farid bawa watak
Razif, suami Maya. Razif tidak mahu insiden ngeri itu kembali menghantui Maya
dan membawa isterinya ke villa untuk tenangkan diri.
“Dalam perjalanan ke villa, Maya seakan-akan pernah melalui jalan itu dan
merasakan ada perkara buruk pernah berlaku. Di villa, dia dihantui bayangan
seorang wanita berpakaian pengantin dan berkaki ayam. Wanita itu mengekori ke
mana saja Maya pergi.
“Projek kali ini menuntut saya banyak bermain dengan emosi dan sentiasa dalam
ketakutan. Memang penat hidupkan watak sebegini, tetapi saya puas.
“Saya berterima kasih kepada Eyra kerana percaya bakat saya dan berusaha
mencungkil sisi yang belum pernah saya tonjolkan sebelum ini,” katanya.