SAYA SUKA BLOG INI

INFO TERKINI

Saturday, February 15, 2014

ADENAN SATEM MENJADI KETUA MENTERI SARAWAK



Taib Mahmud tak silap pilih Adenan

Desas desus peningkatan kerjaya politik Tan Sri Adenan Satem dalam politik Sarawak bukan perkara baharu. Tanda tanya potensi beliau menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri semakin galak dibisikkan apabila diumumkan pemegang portfolio Kabinet Sarawak, mendahului nama lain dalam senarai pemimpin politik negeri itu, terutama Abang Jo (Datuk Amar Abang Zohari Openg) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Gerakan awal congakan percaturan politik Taib Mahmud cepat dibaca umum. Penyertaan Adenan dalam Kabinet Taib menggambarkan keyakinan dan keserasiannya dengan Adenan – sesuatu yang menjadi ikatan penting dalam simpulan kepemimpinan politik.


Personaliti berpotensi

Tanggapan umum sebelum ini kelihatannya agak memihak kepada Abang Jo. Benar, Adenan menunjang nama kukuh dalam arena politik Sarawak. Umum membaca beliau sebagai personaliti berpotensi. Namun, minda manusia ada kalanya berusaha menolak kepercayaan awal semata-mata untuk memujuk hati supaya mengubah keputusan yang tidak begitu diingini. Ini psikologi biasa dalam politik kepemimpinan dan kepengikutan.

Begitulah senario politik alam nyata. Politik ialah seni kebarangkalian. Pada peringkat parti, meskipun popular, Adenan tewas. Kekalahannya pula di tangan Abang Jo.

Adenan pernah melepaskan jawatan dalam parti. Beliau juga pernah tidak disenaraikan dalam Kabinet Persekutuan.
Apa pun yang menyusul selepas ini, senario politik Sarawak seharusnya menjadi sumber pembelajaran penting kepada umum. Sarawak diibaratkan negeri yang dirahmati oleh penduduk dan rakyat. Ia merentasi tahap pembangunan yang sangat bermakna.

Apa pengajaran yang boleh diterjemah dalam konteks perkembangan baharu kepemimpinan dalam politik Sarawak ini? Pertama, keajaiban rahsia kejadian manusia (jasmani dan jiwa) yang memberikan kesempatan terbaik membangun soal kehidupan melalui proses pembinaan tamadun atau peradaban. Ini soal besar dalam kepemimpinan.

Pemimpin datang dan pergi. Ihsan dan budi ditawarkan sebagai faedah penting kepada pengikut dan rakyat. Atas premis dualiti (jasmani dan jiwa) ini jugalah tauhid dalam konteks politik (yakni siyasah) dilihat sebagai sangat penting.

Dalam kata lain, dualiti itu dilihat realitinya dari dua sudut: pertamanya, hanya Allah selaku Pencipta yang kekal dalam keesaanNya dan jauh daripada sebarang perkongsian dan kedua, makhluk, yakni semua makhluk sejak kejadiannya menjadi pertimbangan utama dalam kefalsafahan dan proses politik.

Ketangkasan jasmani Adenan mungkin dibatasi sedikit oleh usia, namun kebesaran dan kelapangan jiwanya tiada manusia yang berupaya mengukurnya.

Islam mengangkat istilah ‘kekhalifahan’

Kepemimpinan adalah sesuatu yang istimewa dan khusus. Islam mengangkat istilah ‘kekhalifahan’ lebih daripada kedaulatan seperti ditekankan dalam sains politik moden.

Perkara ini bertolak daripada sumber kuasa dibekalkan Allah SWT yang memiliki kedaulatan mutlak manakala manusia – dalam konteks pemimpin politik – hanya berstatus khalifah serta bersifat wakil saja.

Demikian juga dalam soal kuasa politik. Kuasa untuk memimpin dan memerintah di muka bumi dijanjikan kepada keseluruhan komuniti orang yang percaya, yakni beriman, kerana mereka yang beriman menjadi penjaga Khalifah.

Kelebihan inilah yang ditegaskan secara berulang terutama dalam spektrum sains politik Islam mengenai keutamaan mewujudkan keseimbangan antara dua aspek kehidupan manusia – kebendaan dan spiritual. Dalam konteks politik kepartian, semua ini berhubungkait.

Adenan, Abang Jo dan Awang Tengah, adalah pemimpin yang berusaha mengatur kehidupan manusia. Satu daripada elemen dasar kehidupan manusia ialah membuat pilihan. Dalam hal ini, Taib Mahmud pastinya tidak tersilap memilih Adenan.

Penulis ialah Profesor Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails