SAYA SUKA BLOG INI

Jana Pendapata Anda

INFO TERKINI

Saturday, June 1, 2013

LIM KIT SIANG MENYALAHKAN BN: TRAGEDI BOT KARAM DI BELAGA KAPIT




KUALA LUMPUR 31 Mei - Penasihat DAP, Lim Kit Siang diminta berhenti menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) ekoran tragedi bot ekspres karam dekat Belaga, Sarawak baru-baru ini dan menjadikannya sebagai modal politik.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Ahli Parlimen Gelang Patah itu sepatutnya lebih rasional dengan melihat sumbangan partinya terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tuduhan membuta tuli.

Dengan nada tegas, beliau berkata, Kit Siang sebagai ahli politik veteran perlu matang dan tidak sewenang-wenangnya menuding jari kepada musuh politik bagi menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat terutama kaum keluarga mangsa.

"Kit Siang sebagai ahli politik veteran kenalah cerdik sikit, janganlah terlalu mengikut emosi, sikit-sikit menyalahkan BN sehingga bot karam pun salahkan kita biarpun kerajaan selama ini telah melakukan pelbagai inisiatif dalam meningkatkan infrastruktur di pedalaman Sabah.

"Tetapi apa yang telah mereka lakukan? Saya mahu tanya Kit Siang, apa yang mereka lakukan di Sibu dan Kuching setakat ini? Mereka ada wakil di situ, lima tahun, 10 tahun duduk situ, apa yang dia buat?," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah Institut Pendidikan Mara, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Kit Siang yang mendakwa kononnya kejadian tersebut telah memperkuatkan lagi dakwaan berhubung kegagalan pembangunan saksama dan pentadbiran politik pentadbiran di Sarawak.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad; Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Abu Kassim Mohammed.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, kerajaan telah lakukan pelbagai inisiatif di Sabah dan Sarawak termasuk pembinaan jalan di sepanjang negeri tersebut bagi memudahkan kerja-kerja mobiliti penduduk.

Walau bagaimanapun, katanya, kejadian bot karam tersebut berpunca daripada pelbagai aspek termasuk bot membawa penumpang lebih muatan, kesilapan sistem penjadualan dan faktor musim perayaan.

"Selaku kementerian yang bertanggungjawab, kita telah membantu rakyat di Sabah dan Sarawak, kita sedar walaupun masih tidak mencukupi, kita komited dalam menambah pembangunan infrastruktur di luar bandar secara holistik," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails