Hampir tiga tahun hidup bergelar janda, pastinya banyak dugaan yang terpaksa dilalui oleh pelakon Nora Danish. Terutamanya apabila dia terpaksa berhadapan dengan kontroversi yang sering menjadi tumpuan ramai.
Kontroversi yang paling hangat diperkatakan sudah tentu perbalahan Nora dengan seorang pelakon wanita popular dan kontroversi yang dikatakan punca kepada penceraian dengan bekas suaminya sebelum ini.
Bagaimanapun, Nora kini tiba-tiba dilanda gosip hangat apabila dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan seorang jejaka.
Malah, ada khabar angin yang mengatakan bahawa jejaka yang dimaksudkan merupakan seorang kerabat diraja dan berasal dari Terengganu.
Kesempatan bertemu Nora pada majlis pelancaran drama bersiri Ana Lu'Lu baru-baru ini, pelakon berkenaan telah diajukan pertanyaan mengenai hubungannya dengan jejaka tersebut.
"Memang tidak dinafikan kini saya menjalin hubungan yang agak rapat dengan seseorang, tetapi adalah terlalu awal untuk saya katakan hubungan kami sebagai pasangan kekasih.
"Apa yang boleh saya katakan, dia merupakan lelaki yang paling rapat dengan saya ketika ini, namun dia bukanlah seorang kerabat dan tidak berasal dari Terengganu," jelasnya.
Tambahnya, jejaka berkenaan merupakan seorang ahli perniagaan yang langsung tidak terbabit dengan dunia hiburan dan usianya dua tahun lebih muda berbanding dirinya.
Bagaimanapun, Nora enggan mengulas lebih lanjut tentang hubungannya dengan lelaki berkenaan dan sekadar menyatakan bahawa mereka berdua masih lagi berkawan dan dalam proses saling mengenali.
"Boleh dikatakan hubungan kami agak rapat kerana masing-masing mempunyai keserasian. Walaupun dia lebih muda daripada saya, tetapi saya rasa senang berkawan dengannya sejak setahun lalu.
"Cuma kalau boleh saya tidak mahu bercerita sangat tentang hal ini kerana kami masih lagi di peringkat berkawan. Nanti kalau terlalu heboh sangat, risau pula apa yang diharapkan tidak menjadi," ujar pelakon berusia 29 tahun itu lagi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai tempoh untuk dia menamatkan zaman jandanya, Nora memberitahu bahawa setakat ini dia masih belum terfikir lagi untuk mendirikan rumah tangga semula.
Menurutnya, dia memang masih lagi mempunyai keinginan untuk berumah tangga, namun dia memerlukan masa untuk mencari lelaki yang betul-betul sesuai dengan dirinya.
"Kalau boleh saya memang ingin berkahwin semula, namun apa yang boleh saya katakan ia tidak mungkin berlaku pada tahun ini kerana tidak terlalu terdesak sangat.
"Selepas ini kalau hendak mencari pasangan hidup, saya memerlukan masa yang lebih lama untuk mengenali hati budi lelaki yang akan saya pilih untuk menjadi suami nanti," jelasnya.
No comments:
Post a Comment