Eira mengaku hubungan dengan Azad semakin intim
SELEPAS mengenali hati budi masing-masing selama tiga tahun, pasangan yang semakin intim bercinta Eira Shazira dan Azad Jazmin tidak menolak dakwaan mereka kini sedang menantikan hari bahagia.
Gara-gara dilanda pelbagai gosip yang bukan-bukan sepanjang perhubungan mereka, secara tidak langsung menjadikan diri mereka semakin matang melalui perjalanan hidup.
Keserasian mereka semakin menyerlah apatah lagi kedua-dua pelakon yang pernah bergandingan bersama sebagai suami isteri dalam filem Ngangkung itu akan mengumumkan cerita gembira kepada semua peminat apabila tiba masanya nanti.
Meluangkan masa untuk ditemu bual bersama Hip Jumaat lalu di Taman Tasik Titiwangsa, jelas memperlihatkan keintiman mereka. Sesekali terdengar panggilan ‘Yang’ bererti sayang yang diucapkan Eira kepada jejaka berkulit hitam manis itu.
Sebaik ingin menyelak helaian demi helaian memori indah mengenai perhubungan mereka, Eira pada mulanya tidak begitu selesa apabila diajukan mengenai perkara itu, bukan malu, namun kebetulan juga Azad ketika itu berada di hadapannya.
Namun selepas diminta Azad untuk meninggalkannya, barulah Eira mula mengatur bicara mengenai perhubungan mereka.
Menurut Eira, semuanya bermula daripada kegilaannya menonton filem hindustan dan menggemari aktor kacak Abhishek Bachchan.
“Saya adalah peminat Abhishek Bachchan dan mula-mula mengenalinya saya agak tertarik dengan air mukanya yang seperti Abhishek Bachcan,” katanya yang juga tertarik dengan lelaki yang tinggi dan berkulit gelap seakan hero bintang Bollywood itu.
Kata Eira lagi, perhubungan mereka yang dianggap kawan rapat di awal perkenalan akhirnya berjaya menambat hati kecilnya untuk mengenali dengan lebih rapat bekas peserta realiti Audition terbitan ntv7 sekitar 2006.
“Hubungan kami bermula dengan kawan, sepanjang tiga tahun saya senang dengan dia kerana dia banyak berfikiran positif daripada negatif terutama sokongannya terhadap kerjaya saya.
“Saya nampak dia sudah lalui pelbagai dugaan dalam hidupnya, misi kini adalah menumpukan kepada kerjayanya dan masa depannya dengan serius,” katanya yang menyenangi karakter komedi Azad yang sering membuatkan dirinya dihargai.
Eira mengakui, sebagai sifat semula jadi yang dimiliki semua golongan Hawa, cemburu itu tetap ada di sebalik hati kecilnya.
“Orang kata cemburu itu tetap ada, tetapi terkawal, kebetulan kami menceburi bidang yang sama, berfikiran positif dan kepercayaan perlu ada dan untungnya kami kerana sejak dulu kami sering berkomunikasi dan berbincang dalam apa saja hal.
Apabila ditanya mengenai perhubungan mereka yang mengharapkan berakhir ke jenjang pelamin, Eira hanya mendiamkan diri untuk beberapa saat sebelum meneruskan kata yang dianggap klise sebagai ketentuan takdir.
“Perkara itu saya tidak dapat untuk menentukan di mana berakhirnya perhubungan ini. Walaupun jawapan saya nampak klise, kami berusaha untuk menjaga hubungan ini sebaik mungkin,” katanya.
Begitu juga dengan Azad yang mengakui, walaupun kebenarannya mereka sedang bercinta, namun fokus utama mereka adalah untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka sebelum memikirkan lebih jauh.
“Hubungan saya dengan Eira ini adalah hubungan bekerja, dari mata orang, memang nampak kami ini bercinta, kami bernaung di bawah satu bumbung bersama, kerap berlakon bersama, menjalani rakaman lagu bersama maknanya kami memang banyak masa bersama.
“Keserasian yang dapat saya rasakan sejak hari pertama lagi mengenalinya, cuma nampak lebih ketara selepas setahun. Insya-Allah sekiranya kami dijodohkan akan bersama saya tidak menolak.
“Memang ada kami berbincang untuk masa depan, namun buat masa sekarang ini kami terikat dengan syarikat dan mereka menasihati kami seelok-eloknya jangan kahwin lagi sebab mereka sudah melabur dan kami tidak mahu mementingkan diri sendiri,” kata Azad.
No comments:
Post a Comment