KISAH hubungan pelakon Zalif Sidek dan Fida Ibrahim lenyap
seketika apabila muncul dakwaan campur tangan orang ketiga dalam hubungan
mereka beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, pada hujung minggu lalu menerusi ruangan pojok
sebuah akhbar tempatan menyiarkan perkembangan terbaharu dua pelakon muda itu
yang khabarnya telah kembali berbaik.
Zalif yang ditemui ketika tayangan perdana filem Bikers
Kental di Cathay Cineleisure, e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini
mengesahkan khabar berkenaan.
Katanya, dia dan Fida kini kembali menjalinkan hubungan
seperti sebelum ini dalam erti kata lain hubungan 'sekadar berkawan' kembali
terjalin.
"Saya terkejut sebenarnya dengan kenyataan itu kerana
saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hubungan kami.
"Ya, saya akui saya berkawan baik dengan dia dan
sebelum ini pun kami berenggang seketika kerana sibuk dengan kerja.
"Selain itu, kisah hubungan kononnya ada orang ketiga
dalam hubungan kami menyebabkan kami mengambil masa sekejap untuk berjauhan.
Sampai sekarang saya tidak tahu siapakah individu itu," ujarnya.
Dalam pada itu, kata Zalif, mereka masih berkomunikasi seperti
sebelum ini tapi hanya melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas
(SMS).
Zalif didakwa berjumpa semula dengan Fida serta mengenakan
pakaian warna sedondon ketika menghadiri sebuah majlis doa selamat sekitar
bulan Mac lalu dan semenjak itu hubungan mereka kembali bertaut.
"Saya diundang untuk menghadiri majlis doa selamat
kawan saya dan tidak merancang untuk memakai baju Melayu berwarna hijau yang
secara tidak langsung sama dengan Fida ketika itu. Ia hanya kebetulan,"
tambah Zalif yang kini sibuk dengan pembikinan filem Jangan Pandang Belakang
Boleh arahan Ismail Bob Has him.
Ungkap Zalif, sebelum majlis doa selamat itu, dia telah
berjumpa dengan Fida di sebuah acara anjuran Finas di Kelantan untuk berbincang
masalah hubungan mereka.
"Kami bersemuka dan berbincang masalah sebenar yang
terjadi antara kami. Selagi perkara boleh diselesaikan saya akan cuba
selesaikan dan elak daripada berkongsi dengan orang luar.
"Saya seorang yang jujur dan kalau saya menyukai
seseorang saya akan cakap suka. Memang dari awal lagi saya suka Fida.
"Saya suka akan penampilannya, cara bekerja dan
kehidupan peribadinya. Sekarang kalau boleh sekadar mahu berkawan rapat dan
kenal satu sama lain," katanya yang belum sempat berjumpa Fida dalam
tempoh terdekat.
Ditanya adakah peraturan kontrak dalam Metrowealth
menyebabkan dia mengambil tindakan untuk tidak mengiakan hubungan cinta dengan
Fida, kata Zalif urusan kerja dan peribadi adalah perkara berbeza.
"Ketika menandatangani kontrak dengan Metrowealth, saya
dinasihatkan untuk berterus-terang sekiranya meminati seseorang kerana bimbang
kontroversi akan menjejaskan produksi.
"Perkara utama saya sekarang adalah kerjaya, bukan
kerana terikat dengan MIG. Kalau itu jodoh saya apa daya saya untuk
mengelak," simpul Zalif.
No comments:
Post a Comment