SELURUH ASIA DIKEJUTKAN DENGAN VIDEO TERSEBUT.
TOLAK ketepi kontroversi video seks bintang popular
Indonesia, Luna Maya bersama bekas teman lelakinya, Ariel Peterpan (kini Ariel
Noah) yang melanda satu ketika dulu. Pertama kali bertemu dengan aktres tinggi
lampai itu, ternyata Luna bukan sahaja seorang yang jelita, tetapi juga bijak
dalam mengeluarkan kata-kata.
Aktres berusia 30 tahun itu juga sangat merendah diri dan
tenang sahaja memberi jawapan biarpun diasak pelbagai soalan daripada media
Malaysia yang begitu ingin mengetahui cerita terbaharu mengenai dirinya.
Hadir ke Malaysia bagi mempromosikan filem pertama arahan
dan terbitannya berjudul Pintu Harmonika, aktres kelahiran Bali, Indonesia itu
mengakui berasa kaget (gementar) kerana diminta berucap secara tiba-tiba ketika
majlis pelancaran filem tersebut untuk tayangan eksklusif Astro First di Hotel
Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.
"Saya tidak persiapkan ucapan, jadi agak kaget bila
dijemput untuk berucap. Saya bangga dan rasa luar biasa berada bersama
pihak-pihak seperti anda yang menyokong industri perfileman," ungkapnya
ringkas.
Satu filem lima pengarah
Berkongsi pengalaman menghasilkan filem Pintu Harmonika,
dedah Luna, dia yang mengarah filem itu bersama dua lagi temannya iaitu Ilya
Sigma dan Sigi Wimala pada mulanya ingin menjemput Dian Sastrowardoyo dan
Sherina Munaf untuk mengarah bersama.
Bagaimanapun, keinginan Luna tidak kesampaian apabila Dian
dan Sherina mempunyai alasan tersendiri.
"Sepatutnya filem ini mempunyai lima pengarah, tetapi
Dian dan Sherina tidak dapat turut serta mengarah. Ini kerana Dian baru sahaja
mendapat anak, sementara Sherina pula belum bersedia untuk mengarah,"
jelasnya mengenai filem Pintu Harmonika yang bakal ditayangkan secara serentak
di Astro First dan juga di pawagam-pawagam Indonesia pada 23 Mei ini.
Bercerita mengenai filemnya itu, jelas Luna, ia menceritakan
tentang tiga cerita berbeza yang berlatarbelakangkan kawasan kejiranan rumah
kedai serba sederhana di Indonesia.
Bicara lanjut daripada Luna, kisah pertama ialah sebuah
kisah seram arahan Sigi Wimala yang menonjolkan seorang kanak-kanak lelaki
berusia sembilan tahun yang cuba untuk menyelamatkan nyawa ibunya daripada
terus menderita akibat sering terdengar suara aneh dari tingkat atas rumah
kedai mereka.
"Cerita kedua pula mengangkat kisah komedi romantik
arahan saya. Ia menceritakan tentang seorang gadis bijak berusia 13 tahun,
tetapi hidup terasing dan hatinya penuh dengan kemarahan.
"Cerita ketiga arahan Ilya Sigma pula memfokuskan
tentang budak lelaki berusia 17 tahun yang kacak dan sempurna pada luarannya,
tetapi ingin berbohong mengenai kemiskinannya kerana cuba memenangi hati
seorang gadis," tutur Luna yang memberitahu ketiga-tiga cerita tersebut
berkaitan kerana mereka berjiran dan menjalankan perniagaan di bawah dan
tinggal di tingkat atas secara bersebelahan.
Ditanya tentang berapakah perbelanjaan dan masa yang diambil
untuk menghasilkan filem tersebut, beritahu Luna, ia mencecah nilai RM750,000.
Mula menghasilkan filem itu pada Disember 2011, kata Luna,
proses penggambaran cuma berjalan selama dua minggu, tetapi untuk menyiapkannya
ia mengambil masa selama sembilan bulan.
"Kalau ikutkan filem ini sudah siap pada Disember 2012,
tetapi kerana saya ingin ia sempurna tanpa cacat cela, jadi proses pasca
produksi mengambil masa yang agak lama. Ada juga kesulitan-kesulitan semasa
proses menyiapkannya. Namun, ada hikmah di sebalik kesulitan kerana saya
bertemu dengan pihak Astro dan dapat bekerjasama dengan mereka," jelasnya
lagi.
No comments:
Post a Comment