Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mencipta
sejarah bola sepak negara, apabila menjadi pemain tempatan pertama menggunakan
khidmat pengawal peribadi bagi mengawasi keselamatannya.
Beliau lebih dikenali dengan gelaran Apek yang juga penjaga
gawang utama ‘The Red Warriors’ dikatakan memerlukan perkhidmatan pengawal itu
berikutan timbul-nya pelbagai isu negatif terhadapnya.
Bapa Khairul Fahmi, Che Mat Husin, 59, berkata keadaan
menjadi lebih membimbangkan lagi dengan isu terkini yang mendakwa Khairul Fahmi
menyebabkan pertunangan anak seorang usahawan terkenal di negeri ini putus.
“Saya dan keluarga begitu terkejut serta sedih apabila
membaca laporan sebuah akhbar tempatan kelmarin, yang melaporkan Khairul Fahmi
dikatakan menjadi punca ikatan pertunangan anak usahawan itu putus.
“Sebenarnya, itu semua fitnah selain ada pihak mahu
menjejaskan tumpuan anak saya ketika berhadapan dengan tugas getir bagi
memastikan Malaysia layak ke Sukan Olimpik nanti,” katanya ketika ditemui di
kediamannya, di sini, semalam.
Penyebaran isu putus tunang itu bermula apabila seorang
individu tidak dikenali menghasilkan satu akaun twitter pada 1 Februari lalu,
mendakwa Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan gelaran Apek, merampas tunang
orang dan gadis terbabit yang dikenali sebagai Leuniey, 21, didakwa sanggup
memutuskan pertunangan itu bagi menjalin hubungan dengan Apek.
Bagaimanapun, bekas tunang gadis berkenaan terkilan apabila
ada individu tertentu mengaitkan Khairul Fahmi dengan kejadian putus tunang
itu, malah beliau tidak pernah membuat pengakuan mahu memutuskan pertunangan
yang hanya bertahan 28 hari.
Che Mat berkata, beliau dan keluarga kini tertekan apabila
ada pihak yang mengatakan anaknya jahat disebabkan laporan berkenaan.
“Saya sedih mengenangkan nasib yang menimpa Apek, bagaikan
tidak henti-henti. Sebelum ini dicalitkan dengan isu minum arak, sehingga ada
yang menganggap anak saya kaki minum.
“Saya dan isteri, Bidah Ibrahim, 55, sentiasa berdoa semoga
Tuhan kuatkan semangat kami sekeluarga dalam menghadapi dugaan seperti ini,”
katanya.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran Khairul Fahmi Resources
(M) Sdn Bhd (KFR), Syed Ahmad Mohd Yusof, berkata usaha menyediakan khidmat
pengawal keselamatan buat Apek perlu memandangkan beliau kini menjadi idola
bukan saja di Malaysia, malah di rantau ini.
“Dengan adanya pengawal peribadi, ia bukan bermakna peminat
Apek tidak boleh mendekatinya. Mereka hanya akan memantau keselamatan Apek dari
kedudukan strategik dan akan mengikutinya setiap kali penjaga gol kebangsaan
itu turun beraksi,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengelak peminat Apek keliru dengan
pelbagai kontroversi, mereka boleh melayari sesawang
kelabpeminatkhairulfahmimalaysia.org atau mendapat maklumat tepat daripada Che
Mat sendiri.
“Kita tidak mahu negara kehilangan seorang penjaga gol
berkaliber sekiranya anak jati Kelantan ini tiba-tiba membuat keputusan
menggantung jersi disebabkan tidak tahan dengan kontroversi negatif,” katanya.
Hebat Apek...bila kontroversi melanda tapi harap tumpuan tidak terjejas.
ReplyDelete