Penyanyi, Khai Bahar, mengaku belum puas hati selagi tidak
dapat berduet dengan penyanyi pujaannya, Siti Nordiana.
Menurut penyanyi Jodohku itu, selepas impian merakam lagu
duet bersama seorang lagi artis kegemarannya, Datuk Seri Siti Nurhaliza,
tercapai, kini dia menunggu waktu untuk memasuki studio bersama juara Gegar
Vaganza musim kedua berkenaan.
Kata Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin,
24, Siti Nordiana atau Nana adalah artis pertama diimpikannya untuk rakaman
lagu secara bersama.
“Sudah lama saya menyimpan impian berkenaan, tetapi
nampaknya rezeki berduet dengan Datuk Seri Siti menerusi lagu Cinta Syurga yang
terlebih dulu menjelma. Lagipun, sebelum ini lagu duet bersama Kak Nana belum
siap.
“Namun, sekarang lagunya sudah ada. Kami memilih genre pop
balada untuk tujuan berkenaan, seperti diinginkan ramai peminat. Cuma, sekarang
kami sedang menunggu liriknya disiapkan.
“Kak Nana sendiri sedia maklum dengan perancangan duet ini
dan saya berharap, hajat saya akan kesampaian,” katanya ketika ditemui pada
acara Showcase Muzik Muzik 33 di sini, petang tadi.
Sementara itu, Khai yang popular dengan lagu Bayang dan
Luluh menafikan dakwaan kononnya dia menolak tawaran menyertai program realiti,
Big Stage, disebabkan dirinya sudah memiliki nama besar.
Jelas Khai, dia berbuat berkenaan disebabkan jadualnya yang
padat.
“Sekarang saya sibuk menjayakan program bersama Toyota yang
menghulurkan tawaran sejak tahun lalu. Berikutan komitmen saya bersama mereka
sehingga April tahun depan, jadi saya tidak dapat memenuhi tawaran menyertai
program itu.
“Ia berkaitan soal jadual. Kalau saya tidak mampu memberikan
komitmen, risau pula ia akan menimbulkan masalah. Jadi, ia bukannya soal saya
besar kepala, jangan salah faham,” katanya.
No comments:
Post a Comment