Friday, April 12, 2019

KHAI BAHAR DAN SITI NORDIANA BERDUA-DUAAN




Penyanyi, Khai Bahar, mengaku belum puas hati selagi tidak dapat berduet dengan penyanyi pujaannya, Siti Nordiana.

Menurut penyanyi Jodohku itu, selepas impian merakam lagu duet bersama seorang lagi artis kegemarannya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tercapai, kini dia menunggu waktu untuk memasuki studio bersama juara Gegar Vaganza musim kedua berkenaan.

Kata Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 24, Siti Nordiana atau Nana adalah artis pertama diimpikannya untuk rakaman lagu secara bersama.

“Sudah lama saya menyimpan impian berkenaan, tetapi nampaknya rezeki berduet dengan Datuk Seri Siti menerusi lagu Cinta Syurga yang terlebih dulu menjelma. Lagipun, sebelum ini lagu duet bersama Kak Nana belum siap.

“Namun, sekarang lagunya sudah ada. Kami memilih genre pop balada untuk tujuan berkenaan, seperti diinginkan ramai peminat. Cuma, sekarang kami sedang menunggu liriknya disiapkan.
“Kak Nana sendiri sedia maklum dengan perancangan duet ini dan saya berharap, hajat saya akan kesampaian,” katanya ketika ditemui pada acara Showcase Muzik Muzik 33 di sini, petang tadi.
Sementara itu, Khai yang popular dengan lagu Bayang dan Luluh menafikan dakwaan kononnya dia menolak tawaran menyertai program realiti, Big Stage, disebabkan dirinya sudah memiliki nama besar.

Jelas Khai, dia berbuat berkenaan disebabkan jadualnya yang padat.
“Sekarang saya sibuk menjayakan program bersama Toyota yang menghulurkan tawaran sejak tahun lalu. Berikutan komitmen saya bersama mereka sehingga April tahun depan, jadi saya tidak dapat memenuhi tawaran menyertai program itu.

“Ia berkaitan soal jadual. Kalau saya tidak mampu memberikan komitmen, risau pula ia akan menimbulkan masalah. Jadi, ia bukannya soal saya besar kepala, jangan salah faham,” katanya.




No comments:

Post a Comment