SAYA SUKA BLOG INI

Jana Pendapata Anda

INFO TERKINI

Monday, September 19, 2011

ARTIS MALAYSIA KEMBAR SEIRAS


PADA awal pembabitan Amyza Aznan atau Amyza, 37, dalam dunia hiburan tempatan, wajahnya sering dikaitkan dengan Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff atau Jee Latiff, 40. Kata peminat mereka macam kembar seiras. Malah ada juga yang bertanya adakah dia adik kepada penyanyi popular itu.
Perkara itu turut disedari Amyza selepas ramai memperkatakannya. Waktu itu Amyza sering menidakkan apa yang diperkatakan kerana malu. Katanya lagi, siapalah dia hendak dibandingkan dengan Jee yang punya nama besar dalam industri muzik tempatan.
AMYZA...teringin menyanyi bersama Jee.
TETAP CANTIK...Jee masih sibuk mengadakan persembahan.
Waktu sama, kata Amyza yang ditemui pada satu majlis sambutan Aidilfitri, baru-baru ini, dia memang meminati Fauziah sejak kecil dan seingatnya sejak tingkatan satu.

“Dulu masa zaman budak-budak, apabila orang kata muka saya mirip Jee, saya selalu belek wajah di hadapan cermin. Waktu sama hati turut bertanya, benarkah wajah saya sama dengannya dan dari sudut mana?

“Jee jauh lebih cantik kalau hendak dibandingkan dengan aku, fikir saya. Tapi selalunya saya akan simpan perasaan bangga apabila dikatakan serupa dengan Jee. Mana tidaknya orang kata wajah saya dan penyanyi kesayangan serupa, mestilah saya rasa seronok!” katanya.

Bagaimanapun, sepanjang membabitkan diri dalam dunia seni hanya sekali dia ditemukan dengan penyanyi terbabit bagi menjayakan satu sesi fotografi untuk menghiasi muka hadapan majalah. Waktu itu hatinya sangat berbunga kerana dapat bertentang mata dengan penyanyi kesayangannya.

“Peluang itu saya peroleh selepas enam tahun bergelar pelakon. Mungkin kerana sudah ramai orang menyebut wajah kami serupa menyebabkan editorial majalah itu mendapat idea untuk menemukan kami,” kata Amyza.

Selepas itu, dia tidak berkesempatan bertemu dengan Jee lagi sehinggalah apabila mereka bertemu sekali lagi pada majlis sambutan Aidilfitri terbabit. Kebetulan Jee dijemput untuk menyanyi.

Lalu peluang itu digunakan Rap untuk merakamkan gambar mereka berdua buat pembaca setia dan peminat bagi melihat sendiri dari sudut mana wajah dua artis terkenal ini dikatakan sama.

Menyambung perbualan membabitkan minat Amyza terhadap Jee, kata pelakon drama bersiri Trilogi Cinta itu, dia turut menjadikan kejayaan diraih penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu sebagai sumber inspirasi.

“Pembabitannya dalam dunia nyanyian benar-benar memberi impak berbanding artis sekarang dan rata-rata mereka mempunyai ramai pengikut setia. Malah kerana kejayaan diraih Jee juga menyebabkan saya menyimpan impian menjadi penyanyi.

“Daripada tak ada suara sehinggalah sekarang saya boleh menyanyi dengan baik. Jee juga menjadi pembakar semangat untuk saya mengasah bakat dalam bidang nyanyian,” ujarnya.

Pada waktu sama, Amyza berkata, dia menyimpan impian untuk menyanyi bersama Jee walaupun sekali tidak kira dalam rakaman lagu mahupun persembahan pentas. Mengikuti perkembangan idolanya itu yang kini turut berlakon drama, dia juga berharap selepas ini akan terbuka peluang untuk mereka beraksi sama.

Pertama kali mendengar kenyataan mengatakan wajahnya sama dengan Amyza membuatkan Jee tertanya-tanya. Bagaimanapun, apabila pertama kali melihat wajah pelakon itu, penyanyi berasal dari Klang, Selangor itu mengakui tersenyum.

“Apabila melihat wajahnya buat pertama kali saya faham mengapa ada yang mengatakan wajah kami mirip. Mungkin bentuk rupa ada sikit iaitu bujur sirih dan waktu sama saya kelihatan lebih cengkung sedikit. Ada satu klip video pernah saya hasilkan waktu isu saya sangat kurus. Apabila melihatnya kembali memang saya dan Amyza nampak seiras,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjaya lakonan Amyza, Jee akui ibu anak dua itu sangat berbakat dan menggemari aksinya. Dia juga menyifatkan Amyza seorang pelakon serba boleh dan lakonannya bersahaja.

Menyentuh mengenai impian Amyza yang memujanya dan berhasrat untuk berduet bersama, kata Jee, dia terharu dan sangat berterima kasih. Sekiranya ia terlaksana, Jee menganggap ia sebagai satu penghormatan.

Menyentuh mengenai kerjaya lakonan dan hasrat Amyza untuk digandingkan bersama, kata Jee merendah diri, dia menyifatkan sebagai pendatang baru dalam dunia lakonan, masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari.

“Saya berterima kasih kepada Suhan Movies & Trading juga Rosyam Nor kerana memberi kepercayaan dan peluang untuk menimba pengalaman dan belajar selok-belok dunia lakonan. Bagaimanapun, bagus sekiranya kami dapat ditemukan di layar. Tapi segan sebabnya saya ini baru hendak belajar. Sekiranya peluang datang saya menerimanya dengan tangan terbuka,” katanya yang kini sering mengikuti konvoi motosikal besar.

Menyentuh mengenai kerjaya, kata Jee, dia masih menerima tawaran untuk mengadakan persembahan cuma buat masa sekarang dia belum terfikir untuk menghasilkan album kerana mahu berehat buat sementara.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails