SAYA SUKA BLOG INI

Jana Pendapata Anda

INFO TERKINI

Saturday, April 9, 2011

ABDULLAH HUSSAIN

PEMIKIRAN ABDULLAH HUSSAI
SASTERAWAN NEGARA

Abdullah bin Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman. Beliau ialah penulis yang cukup prolifik lagi konsisten ini, mempunyai pengalaman yang luas.  Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan beliau adalah salah seorang penulis Malaysia yang kaya dengan pelbagai pengalaman yang menarik hati.  Pengalamannya yang luas serta penguasaannya dalam beberapa bahasa merupakan faktor-faktor yang membantu beliau dalam lapangan karang-mengarang.  Hasilnya, kita temui pelbagai tema dengan latar belakang yang berbeza-beza pula dalam karya-karyanya.

Pengetahuannya dalam bidang bahasa dapat diukur daripada buku-buku bahasa dan peribahasa, serta terjemahan karya-karya sastera luar negeri yang telah diusahakannya.  Di samping itu, Abdullah juga seorang penulis biografi yang teliti, juga pernah menghasilkan puisi, ulasan sastera dan rencana umum.  Namun, sumbangannya yang cukup bererti dalam kesusasteraan Melayu adalah dalam bidang cerpen dan novel.
Pada tahun 1926, Abdullah mula belajar di Sekolah Melayu Sungai Limau dan lulus darjah V dalam tahun 1931.  Kemudian, Abdullah memohon untuk menjadi guru pelatih tetapi permohonannya ditolak.  Dari tahun 1932 hingga tahun 1933, Abdullah belajar pula di Sekolah St. Michael, Alor Setar hingga lulus darjah VII dalam tahun 1935.  Sesudah itu, beliau mula mencari pekerjaan.  Semasa tentera Jepun menduduki Tanah Melayu dan Singapura, Abdullah sempat belajar di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan Pegawai-pegawai Tinggi) di Singapura selama tiga bulan dalam tahun 1943 sebagai calon dari Aceh.
Tulisan Abdullah yang pertama berupa sebuah cerita lucu yang tersiar dalam majalah Tanah Melayu pada tahun 1939.  Setelah Hampir 40 tahun menulis, sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu masih terus mengalir seolah-olah beliau tidak pernah kekeringan ilham dan tenaga.  Beliau menulis dalam semua genre.  Menjawab pertanyaan, mengapa dalam sebilangan besar novel-novel beliau mengikutsertakan watak-watak pelbagai bangsa, beliau menyatakan bahawa, penduduk negara ini terdiri daripada berbagai-bagai suku kaum di samping bangsa Melayu yang menjadi peribuminya, maka perpaduan bangsa hanya dapat dicapai melalui penggunaan satu bahasa yang sama dan bahasa Melayu yang baik.
Pada peringkat awal sebagai penulis, Abdullah sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh pembacaan karya-karya sastera dari Indonesia dan Rusia.  Bacaannya yang luas terhadap karya-karya dari negara tersebut turut memberikannya pengalaman untuk menterjemah karya-karya besar sastera dunia.  Satu hal yang menarik ialah pengakuan Abdullah sendiri yang mengatakan bahawa beberapa buah novelnya yang tebal-tebal itu adalah akibat daripada pengaruh novel-novel tebal yang ditulis oleh pengarang-pengarang Rusia.
Novel-novelnya iaitu Terjebak, Peristiwa dan Aku Tidak Minta merupakan rakaman pengalaman-pengalaman berunsur seram, tragis, dan lucu sewaktu Abdullah di Indonesia dan di Thailand.  Ketiga-tiga novel tersebut, di samping Rantau Selamat dan Interlok adalah sumbangannya yang bermakna dalam bidang penulisan novel sehingga kini.  Sementara bukunya yang menyangkut bidang bahasa iaitu Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dianggap sebagai salah satu kamus peribahasa yang terbaik setakat ini.
Usaha gigih Abdullah menterjemah beberapa buah karya sastera dunia dapat kita hayati melalui novel Angin Timur Angin Barat dan Bumi Bertuah (Pearl S. Buck), Muatiara (Steinbeck), Orang Tua dengan laut (Hemingway) dan Lorong Midaq oleh Naguib Mahfouz.  Dalam bidang biografi, Abdullah telah menghasilkan biografi tentang P. Ramlee dan Za’ba, masing-masing adalah seniman dan ahli bahasa Melayu yang terulung.  Abdullah juga menulis biografi Tun Datu Haji Mustapha, pemimpin politik dari Sabah dan seterusnya ialah biografi tentang tokoh sastera, Harun Aminurrashid.
Sebagai penulis yang kaya dengan pengalaman, Abdullah Hussain telah berjaya merakamkan pengalaman beliau yang pelbagai dan menarik itu ke dalam cerpen dan novel-novel karya beliau.  Hasil kesungguhan dan kegigihan beliau berkarya, maka novel terbaru beliau iaitu Imam telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1994/95, dan sebelum itu novel yang sama telah berjaya menggondol hadiah “Hadiah Novel Nasional” (mengingati Pak Sako), 1992/94, yang dianjurkan bersama oleh Syarikat Utusan Melayu dan Public Bank Berhad.  Dan puncak dari segala-galanya itu ialah, apabila Abdullah Hussain dinobatkan sebagai Sastera Negara yang kelapan dalam tahun  1996.  Sebelum itu iaitu dalam tahun 1981, Abdullah Hussain telah terpilih menerima anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok.
Selain mendapat pengiktirafan tertinggi dalam bidang penulisan kreatif, Abdullah Hussain juga telah dianugerahi Pingat Jawa Hukom Ngon Adat Lembaga Kebudayaan Aceh (LAKA) 1995, dan bersempena hari ulang tahun keputeraan Sultan Kedah, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran “Dato” dalam tahun 1995.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails