KUCHING : Ketika semua perhatian tertumpu kepada tiga, malah empat sekarang,
nama pemimpin Islam Sarawak yang diwar-warkan bakal menggantikan Tan Sri Abdul
Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak, tidak ramai tahu bahawa timbalan
ketua menteri negeri itu, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, mungkin membuat kejutan.
Selain satu-satunya timbalan ketua menteri, Jabu, seorang Iban dan beragama
Kristian, juga merupakan timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu
(PBB) yang begitu lama berkhidmat di bawah Taib yang akan bersara dalam
beberapa hari.
Sehingga semalam Jabu adalah satu-satunya pemimpin yang sentiasa mempunyai
senyuman paling lebar dan manis di sisi Taib dalam beberapa hari kebelakangan
ini. Kenapakah beliau begitu girang?
Taib pula sudah menyatakan semalam “tiada kejutan”. Apakah maknanya
kenyataan “tiada kejutan” itu? Apakah ia bermakna timbalan ketua menterinya,
Jabu, akan secara semulajadinya mengambil-alih jawatan ketua menteri sehingga
pilihanraya umum negeri yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang
sehingga 2016 ini?
Semua pemerhati politik Sarawak dan Semenanjung malahan para pemerhati dari
menara gading seolah-olah telah mengenepikan sama sekali peluang seorang
pemimpin Iban, golongan majoriti di Sarawak, sebagai ketua menteri!
Ini sangat menyedihkan kerana masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak
pun ingin melihat sekali lagi seorang pemimpin Iban memegang tampuk pemerintahan
negeri kenyalang yang terkenal dengan budaya Dayak itu.
Tiga menteri Sarawak yang sering dipahat dalam media cetak, elektronik
mahupun maya sebagai pengganti Taib yang paling layak dan afdal ialah Tan Sri
Adenan Satem, Datuk Amar Abang Johari Open dan Datuk Amar Awang Tengah Ali
Hasan. Nama keempat pemimpin Islam yang mula dijaja media semalam ialah Datuk
Mohd Effendi Norwawi, seorang bekas menteri persekutuan.
Nama Jabu anak Numpang dari Betong langsung tidak disebut.
Para pemerhati politik dari negeri jiran Sabah juga hairan dengan keganjilan
yang sedang melanda minda Sarawak, mengetepikan sama sekali seseorang dari
golongan majoriti di negeri itu sedangkan dia sedang memegang jawatan nombor
dua paling tinggi, selayaknya naik ke tempat paling atas mengikut norma biasa.
Kalau tidak, buat apa Jabu jadi timbalan ketua menteri Sarawak selama ini?
Seorang peguam yang juga aktivis Sabah, Peter Marajin, berkata mungkin Jabu
seorang bukan muslim, maka media perdana berpendapat hanya pemimpin muslim sahaja
yang layak menjadi Ketua Menteri Sarawak.
“Jabu bukan muslim bah, as simple as that. Harap-harap mata masyarakat Dayak
akan terbuka luas selepas ini untuk nasionalisme mereka dan memperolehi
kebebasan sepenuhnya mahupun autonomi kuasa yang lebih…” katanya ketika ditanya
pendapatnya mengenai nama Jabu selalu ditinggalkan.
Kelihatannya itulah alasan munasabah kenapa Jabu tidak disebut langsung
sebagai bakal pengganti, dan hal ini sangat menyedihkan dan telah menghiris
hati penduduk Sarawak khasnya kaum Dayak dan terutama sekali Iban.
Seperti kaum Kadazandusun di Sabah, Iban juga mempunyai kadar toleransi dan
ketahanan emosi yang sangat kuat dan hanya akan “meletup” bila keadaan paling
memaksa. Ini kita tidak mahu lihat, lagipun dalam politik apa pun boleh berlaku.
Pujuk-memujuk lumrah politik dan kaum Dayak, terangkum didalamnya Iban dan
Kadazandusun, bolehlah dikatakan senang dipujuk…
Seorang aktivis politik Sabah yang sering bersuara lantang, Daniel John
Jambun, pula berpendapat ada pihak memberitahunya Jabu boleh membuat kejutan.
Ditanya kejutan dalam bentuk apa, beliau tidak dapat memberikan sebarang
bayangan tetapi hanya menyatakan Jabu “mungkin” membuat atau menjadi kejutan
kepada ramai, termasuk para pemerhati yang terlalu berat sebelah selama ini.
PBB, sebagai parti terbesar di Sarawak sebenarnya merupakan gabungan dua
paksi iaitu kumpulan Melanau-Islam (Bumiputera) dan Dayak (Pesaka). Itulah
sebabnya PBB mempunyai ramai ahli Iban walaupun presidennya seorang
Melanau-Islam dan meskipun ada parti khusus pimpinan Iban seperti Parti Rakyat
Sarawak (PRS).
Selepas ini PBB bakal memilih presidennya dan besar kemungkinan seorang
Melanau-Islam sekali lagi akan dipromosikan bagi menggantikan Taib yang bakal
dilantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada hujung Februari ini.
Seorang pemerhati politik yang juga aktivis Sarawak, Alim Mideh, ketika
dihubungi berkata beliau rasa Jabu akan dilantik sebagai Ketua Menteri yang
baru sehingga seorang presiden PBB yang baru dipilih.
“Jika Taib melantik salah seorang daripada tiga nama yang sering
disebut-sebut itu, sudah tentu pihak yang satu lagi tidak akan puas hati dan
begitulah sebaliknya. Oleh itu melantik Jabu sebagai ketua menteri adalah lebih
baik supaya yang tiga orang tidak bergaduh sehingga pemilihan presiden PBB
nanti.
“Mungkin bila pemilihan presiden PBB tiba, nama seperti Mohd Effendi akan
dikemukakan sebagai pilihan neutral, dan siapa yang jadi presiden PBB nanti
akan jadi Ketua Menteri Sarawak seterusnya, mungkin selepas pilihanraya umum
Sarawak,” katanya sambil menambah itu hanya pemerhatian beliau sebagai rakyat
Sarawak dan orang luar parti.
No comments:
Post a Comment