KUALA LUMPUR 31 Mei - Penasihat DAP, Lim Kit Siang diminta
berhenti menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) ekoran tragedi bot ekspres
karam dekat Belaga, Sarawak baru-baru ini dan menjadikannya sebagai modal
politik.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd.
Shafie Apdal berkata, Ahli Parlimen Gelang Patah itu sepatutnya lebih rasional
dengan melihat sumbangan partinya terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang
tuduhan membuta tuli.
Dengan nada tegas, beliau berkata, Kit Siang sebagai ahli
politik veteran perlu matang dan tidak sewenang-wenangnya menuding jari kepada
musuh politik bagi menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat
terutama kaum keluarga mangsa.
"Kit Siang sebagai ahli politik veteran kenalah cerdik
sikit, janganlah terlalu mengikut emosi, sikit-sikit menyalahkan BN sehingga
bot karam pun salahkan kita biarpun kerajaan selama ini telah melakukan
pelbagai inisiatif dalam meningkatkan infrastruktur di pedalaman Sabah.
"Tetapi apa yang telah mereka lakukan? Saya mahu tanya
Kit Siang, apa yang mereka lakukan di Sibu dan Kuching setakat ini? Mereka ada
wakil di situ, lima tahun, 10 tahun duduk situ, apa yang dia buat?,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Sekretariat Pencegahan
Rasuah Institut Pendidikan Mara, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Kit Siang yang mendakwa kononnya
kejadian tersebut telah memperkuatkan lagi dakwaan berhubung kegagalan
pembangunan saksama dan pentadbiran politik pentadbiran di Sarawak.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim
Muhamad; Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Abu Kassim Mohammed.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, kerajaan telah
lakukan pelbagai inisiatif di Sabah dan Sarawak termasuk pembinaan jalan di
sepanjang negeri tersebut bagi memudahkan kerja-kerja mobiliti penduduk.
Walau bagaimanapun, katanya, kejadian bot karam tersebut
berpunca daripada pelbagai aspek termasuk bot membawa penumpang lebih muatan,
kesilapan sistem penjadualan dan faktor musim perayaan.
"Selaku kementerian yang bertanggungjawab, kita telah
membantu rakyat di Sabah dan Sarawak, kita sedar walaupun masih tidak
mencukupi, kita komited dalam menambah pembangunan infrastruktur di luar bandar
secara holistik," katanya.
No comments:
Post a Comment