Thursday, February 17, 2011

MODEL KONSTRUKTIVISME

Teori Konstruktivisme menganggap bahawa ilmu pengetahuan tidak wujud di luar minda tetapi dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar. Teori ini adalah dibina berdasarkan gabungan hasil kajian ahli psikologi, ahli falsafah dan penyelidik pendidikan terhadap proses pembelajaran individu. Mengikut teori ini, ilmu pengetahuan dibina melalui proses saling pengaruh di antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran terbaru yang berkaitan. Di bawah proses pembelajaran, pelajar membina ilmu pengetahuan dengan melibatkan dirinya secara aktif, menggunakan cara membanding maklumat baru dengan pengalaman yang sedia ada supaya menyelesaikan sebarang perselisihan yang timbul dengan tujuan mencapai kefahaman terhadap maklumat baru.


Dalam teori konstruktivisme, pelajar tidak lagi dianggap belajar daripada apa yang diberikan oleh pensyarah tetapi pelajar secara aktif membina realiti mereka sendiri dan pada masa yang sama mengubahsuai realiti tersebut (Dick 1997). Dick (1997) turut menyatakan bahawa konstruktivisme hanya mencadangkan kaedah dalam mana persekitaran pembelajaran boleh disusunatur dan diurus supaya dapat membekalkan pelajar dengan konteks terbaik untuk belajar. Golongan konstruktivis juga menyatakan bahawa ilmu adalah satu entiti yang dibina oleh setiap pelajar melalui proses pembelajaran (Briner 1999). Golongan konstruktivis juga percaya ilmu adalah sesuatu yang tidak boleh dipindahkan tetapi ianya dibina oleh setiap pelajar (Briner 1999). Di dalam konstruktivisme ilmu adalah sesuatu yang relatif dan berubah mengikut masa. Menurut prinsip konstruktivisme lagi proses pembelajaran bertindak sebagai fungsi penyesuaian. Pembelajaran bukan merupakan tempat simpanan maklumat tetapi ia adalah merupakan pengetahuan peribadi yang berguna.

Selain itu, teori ini menganggap individu melihat dirinya secara aktif dalam pembelajaran ilmu pengetahuan berlandaskan konstruktivisme, dan bukan menerimanya secara pasif. Proses ilmu konstruktivisme mengandungi ciri perkembangan serta evolusi jadi ianya bukan tetap tetapi sering berubah. Di bawah teori ini, ilmu pengetahuan tidak digunakan untuk menjelaskan kebenaran. Sebaliknya, ia digunakan sebagai rasionalisasi tindakan dan pengalaman yang dialami oleh seseorang individu. Oleh itu mengikut teori ini, di dalam sesuatu situasi yang sama, ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh setiap individu adalah tidak serupa.

No comments:

Post a Comment