Saturday, February 15, 2014

JABU: UNDIAN TERHADAP BARISAN NASIONAL AKAN MEROSAT



KUALA LUMPUR: Tidak mustahil sokongan Kaum Iban terhadap BN di Sarawak akan merosot pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang tidak dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid berkata, tindakan Abdul Taib Mahmud mengenepikan Jabu memilih iparnya Tan Sri Adenan Satem yang bukan berketurunan Iban akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Iban.

Ini kerana katanya, Jabu merupakan orang yang paling lama berkhidmat dengan Taib.

Jabu daripada keturunan Iban dari Betong, menjadi Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Presiden PBB selama lebih tiga dekad, tidak dicalon untuk menggantikan Abdul Taib.

Sebaliknya Adenan, Menteri Pelancongan dan Pembangunan Perumahan merangkap Timbalan Presiden II PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Menteri Perancangan Sumber II dan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Awang Tengah Ali Hassan yang dicalonkan.

"Jabu hanya menumpang belas kasihan Taib sebab dia ni orang yang paling taat kepada ketua menteri.

"Jabu juga mungkin orang Iban paling kaya sebab banyak kumpul harta sewaktu bersama ketua menteri.

"Dia diam tak mahu komen apa-apa apabila Taib memilih Adenan sebagai ketua menteri, mungkin sedih dan kecil hati.

"Mungkin Iban-iban di Sarawak boleh fahamlah bagaimana politik yang diamalkan PBB. Orang PBB sama dengan orang Umno dia punya trend untuk mengumpul kekayaaan untuk diri sendiri bukan untuk menolong semua rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sehingga semalam, Jabu enggan memberikan sebarang komen kepada media apabila ditanya berhubung pelantikan Adenan sebagai ketua menteri.

Adam juga berkata, PAS turut menjangkakan pelantikan Adenan hanya sementara dan akan digantikan dengan orang lain selepas PRN yang dijangkakan diadakan pada tahun hadapan.

"Adenan mungkin sementara sahaja sebagai ketua menteri dan akan diganti dengan orang lain selepas PRN.

"Walau bagaimanapun, sementra itu kita harap Adenan sebagai ketua menteri walaupun sementara beliau akan membangunkan Sarawak dengan maju lagi khasnya ekonomi Bumiputra Sarawak," katanya yang bertanding di Sebuyau pada PRN lalu.

Tambah beliau juga, pergolakan dalaman PBB itu diharapkan dapat membuka mata rakyat Sarawak dan memberi peluang yang cerah kepada Pakatan Rakyat dalam PRN akan datang.

"Kita harap dalam PRN nanti hasil daripada kurang kesefahaman ini mungkin ada kesan untuk Pakatan Rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment