Monday, February 6, 2012

KESERASIAN ANTARA NABIL RAJA LAWAK DENGAN KENCANA DEWI




HAMPIR sebulan berkolaborasi bersama, Halim Othman, Nabil Raja Lawak mahupun Kenchana Devi mengaku masih mencari keserasian antara satu sama lain. Malah, proses menyesuaikan diri masih berlangsung kepada ketiga-tiga penyampai radio Suria FM tersebut dalam mengendalikan segmen Breakfast@Suria dari pukul 6 hingga 10 pagi itu.

Atas sebab itu, Halim yang bertindak sebagai 'kapten' untuk segmen Breakfast@Suria merasakan perkenalan mereka bukan sahaja perlu berlangsung di konti radio tetapi juga di luar konti radio.

Apakah maksud Halim itu? Dan bagaimana pula perasaan Nabil dan Kenchana sejak menjadi penyampai Suria FM?

Sebelum ini, Breakfast@Suria dikendalikan oleh Halim, Shahira dan Bob. Bagaimanapun, Shahira mengambil langkah mengundur diri daripada menjadi penyampai radio Suria FM selepas kontraknya bersama radio itu tamat.

Suria FM kemudiannya mengundang Nabil Raja Lawak dan Kenchana Devi untuk mengendalikan segmen tersebut bersama Halim dalam usaha untuk terus menarik lebih ramai pendengar.

Kosmo! berpeluang bertemu dengan ketiga-tiga penyampai Suria FM itu sekali gus menyelak diari kerjaya mereka sebagai penyampai radio.

Halim disiplinkan Nabil, Kenchana

Bagi Halim, 46, proses untuk mendapatkan keserasian dengan Nabil dan Kenchana tidak jauh bezanya seperti penyampai terdahulu iaitu Sharifah Shahira dan Bob.

"Saya cuba berkenalan dengan Nabil dan Kenchana untuk mendapatkan keserasian. Proses perkenalan itu bukan sahaja berlangsung di konti radio tetapi juga di luar. Kami akan keluar makan bersama. Sama seperti mula-mula saya cuba untuk mendapatkan keserasian dengan Shahira dan Bob.

"Setakat ini saya akui baru nak sesuaikan diri dengan Kenchana dan Nabil. Saya akan cuba sesuaikan diri saya dengan personaliti mereka dan mereka juga kena begitu. Namun, saya akui selama sebulan bersama Nabil dan Kenchana saya lihat mereka sangat berkebolehan," ujar Halim ketika ditemui di pejabat Suria FM baru-baru ini.

Menurut Halim, pemilihan Nabil dan Kenchana untuk segmen Breakfast@Suria adalah sesuai kerana setiap pagi pendengar memerlukan keceriaan sewaktu mereka sedang memandu ke tempat kerja.

Berkongsi pendapat tentang Nabil dan Kenchana, tutur Halim, Nabil boleh dianggap bukan seperti pelawak biasa kerana dia memiliki idea-idea yang bagus. Begitu juga Kenchana apabila membawa satu budaya lain iaitu India kepada Suria FM.

"Pendapat saya, saya rasa Nabil bukan pelawak biasa kerana dia ada point dalam melawak dan lawak dia boleh dianggap lawak antarabangsa. Kenchana pula membawa satu budaya baharu iaitu India pada Suria FM yang sebelum ini dimonopoli oleh penyampai Melayu. Dia juga pandai berkata-kata dan fasih bahasa Melayu," tuturnya jujur mengenai rakan penyampainya dalam segmen yang dikendalikan bersama.

Bagaimanapun, Halim yang dilantik menjadi 'Kapten' harus memastikan kedua-dua penyampai baharunya itu berdisiplin dalam mengeluarkan kata-kata lawak kepada pendengar.

"Mereka kena tahu had mereka dalam berkata-kata atau melawak. Sebabnya, dalam Breakfast@Suria terdapat pelbagai segmen lain dan juga peraduan untuk pendengar.

"Selain itu, kalau penyampai radio berterusan membuat lawak takut nanti intipati atau benda-benda keutamaan seperti maklumat penting tidak kesampaian.

"Tanggungjawab kami bukan sekadar membuat lawak setiap pagi tetapi memberi informasi berkaitan dengan hal-hal isu semasa," ujarnya yang kini genap 12 tahun menjadi penyampai radio.

Ditanya tidakkah dia tergugat dengan Nabil kerana pelawak itu mempunyai jumlah peminat yang ramai, Halim menolak tanggapan itu malah menganggap pengambilan Nabil dan Kenchana sebagai rakan kontinya dapat memberi keceriaan seterusnya memberinya lebih tenaga mengendalikan segmen itu bersama.

"Saya tidak berasa tergugat langsung dengan kehadiran mereka sebaliknya gembira kerana dapat mengendalikan segmen ini dengan dua orang yang berbakat besar.

"Setakat ini saya suka dengan personaliti Nabil yang ada semangat untuk belajar sebagai penyampai radio yang bagus. Begitu juga dengan Kenchana. Cuma saya harap apa yang dipersembahkan nanti seimbang," ungkapnya lagi.

Kenchana ajar bahasa Mandarin

Bagi pelakon komedi yang popular menerusi sitkom Puteri di TV3, Kenchana Devi, 37, dia teruja menerima tawaran sebagai penyampai radio Suria FM kerana selain dapat mengembangkan sayapnya dia ingin mencabar sejauh mana kebolehannya untuk melakukan sesuatu yang belum pernah dicubanya.

Pelakon, penerbit, penulis skrip dan pelawak itu juga mengaku, sudah tiba masanya dia membuktikan walaupun bukan Melayu, dia boleh menarik pendengar menerusi celotehnya bersama Nabil dan Halim.

"Saya sudah cuba semua bidang seperti berlakon, mengacara, menulis skrip dan melawak tetapi tidak sebagai penyampai radio. Jadi, bila peluang ini datang kepada saya, ia tidak harus disia-siakan," ujarnya teruja dan pada masa yang sama mengaku berdepan dengan cabaran sebagai penyampai radio.

Ujar Kenchana, cabaran paling besar apabila dia perlu menceriakan pendengar dan dalam masa yang sama tahu apa yang perlu dan tidak perlu dituturkan kepada pendengar.

"Tugas sebagai penyampai radio adalah untuk menceriakan semua pendengar. Jadi, saya kena tahu apa yang sesuai dicakapkan supaya apa yang saya cakap mereka boleh terima," ujarnya yang turut memberi cadangan untuk mengadakan kelas bahasa dalam Breakfast@Suria.

Selain mengendalikan segmen panggilan 'Adoi Ai' iaitu segmen mengenakan orang bersama Nabil dalam Breakfast@Suria, Kenchana turut mengendalikan kelas bahasa Tamil dan Inggeris untuk para pendengar.

No comments:

Post a Comment