Monday, November 7, 2011

ERRA FAZIRA VS UMIE


PERSAHABATAN menjadi benang emas yang menyatukan dua jiwa ini. Dua insan seni yang awalnya bermula dengan langkah dan laluan berbeza namun dipertemukan atas satu titik yang menyatukan. Erra Fazira dan Datin Paduka Umie Aida, dua jiwa yang menjadi sekutu pada nafas persahabatan. Mereka berada dalam uri seni yang sama, menjalin cinta yang senafas untuk bakat yang mengalir dalam pembuluh darah mereka.

Sesi tawa dan mengusik mesra menjadi tontonan manis menyaksikan jalinan mereka. Kadangkala Umie persis kakak yang menjaga Erra, sang adik yang manja. Ada waktu mereka berbahagi keseriusan untuk meneroka sebuah perjalanan yang mereka realisasikan bersama. Naskhah Badai Semalam dan syarikat Frensis adalah lanjutan kepada persahabatan yang mereka ciptakan.

Saling melengkapi

Persahabatan Umie dan Erra merupakan sintesis perasaan seperti gambaran penulis Perancis, Francois de La Rochefaucald yang mendakwa sahabat sejati ialah anugerah Tuhan terbesar.

Atas dasar nama sahabat, Erra dan Umie menubuhkan syarikat dengan nama Frensis. Syarikat itu ialah hasil idea dan kerjasama antara Erra, Umie dan Ziela Jalil. Frensis mempertaruhkan teater Badai Semalam yang bakal dipersembahkan di lantai berprestij Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 11 hingga 20 November ini sebagai pencetus momentum. Bukan hanya pameran lakonan pementasan sebagai ujian tetapi yang lebih utama, hasil kerjasama itu mempamerkan profesionalisme terutamanya dalam hal teknikal dan produksi.

Erra sebagai tunjang utama Badai Semalam terheret dalam pementasan itu gara-gara sahabatnya, Umie Aida.

"Umie paksa saya untuk mengambil watak Mazni. Dia adalah punca dan tulang belakang untuk semua ini," akui Erra.

Umie mempunyai alasannya yang tersendiri.

"Saya mahu lihat Erra muncul berbeza. Untuk sebuah hasil yang lain daripada yang lain," balas Umie yang merasakan sosok Mazni sangat tepat dibawa Erra.

Dalam nada separuh pasrah, Erra mengakui Mazni kini semakin meresap dalam jiwanya.

"Saya akui watak Mazni itu berat dan memenatkan. Setiap kali datang latihan, pasti rasa berat. Hari cuti dan Ahad pun saya masih berfikir tentang Mazni. Masuk sahaja hari Isnin, sudah rasa tekanannya," kata Erra.

Tambah Erra: "Berlakon teater, filem atau drama punya perbezaan. Dalam teater, perlu jaga momentum, tidak boleh jatuh. Walaupun bercuti masih perlu beradaptasi dengan watak itu sendiri. Saya anggap ini seperti proses back to school. Banyak yang perlu saya pelajari. Kena kerja keras, malah lebih keras."

Landasan

Kepada Umie pula, sewaktu sahabatnya meneroka sebuah jurnal hidup Mazni, dia punya sisi berbeza untuk melihat perjalanan Badai Semalam lancar atas landasan yang dibina bersama. Bertindak melakonkan watak Puan Rohana, ibu kepada Karim lakonan aktor Aaron Aziz, dia juga punya tanggungjawab yang besar di balik bidai teater itu.

"Saya banyak turun padang untuk melihat bahagian produksi. Buat pemasaran dan lihat aspek teknikal. Ini platform untuk belajar dan menimba ilmu yang sebelum ini saya peroleh daripada Erma Fatima juga," tutur Umie yang menjalankan tugas-tugas produksi Frensis.

Dalam gelak tawa dan serius berbahagi cerita perihal kerjaya, terselit juga tentang sejarah bagaimana terbenihnya persahabatan yang sedang merendang itu. Kata Umie, Erra dahulu belajar satu sekolah dengannya di Sekolah Menengah Titiwangsa, Kuala Lumpur namun 'ego' sebagai senior membuatkan dia meninjau dari kejauhan.

Malah mereka pernah sama-sama menetap di Setapak Garden namun masih belum berjabat tangan atau bertegur sapa.

"Hanya selepas filem Mr. Cinderella, baru kami berkawan dan kemudian berlanjutan ke dalam filem Cuci. Kami berkawan dengan ikhlas. Bila ada rasa itu, timbul rasa sayang terhadap diri masing-masing. Sesiapa yang mengusik, salah seorang daripada kami akan melenting," ujar Umie membuka cerita.

"Paling terharu, sewaktu saya berdepan masalah dengan (bekas suami) Yusry dahulu. Umie sentiasa ada di sebelah saya. Dia berkorban masa mendengar luahan hati seorang kawan," luah Erra yang menganggap keserasian merupakan resipi utama mereka.

"Apa yang penting ialah sikap hormat-menghormati. Kami tidak usik atau tanya perkara yang tidak perlu," tambah Umie yang menganggap tiada masalah jika bersahabat baik sesama selebriti.

Sama tetapi tak serupa

Mereka mungkin tampak sama pada fizikal dan gelombang pemikiran. Lalu dikorek cerita persamaan dan perbezaan yang mendekatkan mereka.

"Kami jenis tidak suka mengumpat atau jaga tepi kain orang lain. Kami banyak bercerita tentang kami sahaja," ujar Umie.

Erra menjelaskan mereka sebenarnya amat berbeza dalam falsafah fesyen.

"Kami tidak serupa (dalam berfesyen). Umie ada sisi santai dia. Tapi wajib ada kasut tinggi. Santai dia bukan seperti santai dalam definisi saya," ujar Erra mengingatkan Umie yang gigih bersepatu tinggi walaupun hanya ke pasar.

"Kami hormati cita rasa masing-masing tetapi bila ada masanya untuk 'cuci' sebab tidak kena gaya, kami 'cuci' juga," tambah Umie ketawa bergaya.

Menambah ciri yang membezakan minat mereka, Umie melancarkan bicara: "Dalam bab filem pula, saya akan layan semua jenis filem. Tapi Erra kurang berkenan dengan filem hantu atau ngeri. Dia takut."

Umie menerangkan kecenderungannya lebih terarah kepada tawaran untuk melakonkan filem-filem dengan watak-watak beremosi.

"Saya suka bermain dengan emosi, lebih seronok dan baru rasa bekerja bila kena kerja lebih sikit," ujarnya yang pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Embun seketika dahulu.

Berlainan pula dengan ibu kepada si puteri comel bernama Tengku Aleesya, Erra lebih senang untuk tidak dibayangi emosi berat dalam tempoh yang panjang.

"Saya suka watak-watak yang ringan. Saya tak suka rasa serabut," ujar Erra, juga penjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Soal Hati dan Hingga Hujung Nyawa.

Terlanjur berkongsi cerita kehidupan dan karier, tahun ini juga pasangan sahabat popular ini akan bekerjasama dalam sebuah lagi projek. Mereka baru sahaja diumumkan sebagai juri tetap kepada program Pilih Kasih musim ketiga terbitan Suhan Movies. Pilih Kasih 3, akan disiarkan menerusi TV2 mulai 20 November ini.

"Memang banyak lagi agenda yang kami berdua rancangkan. Kita habiskan satu-persatu dahulu," kata Erra yang menyambut Hari Raya Aidiladha di Kuala Lumpur bersama keluarganya.

Komitmennya sebagai juri pertandingan Vokal Bukan Sekadar Rupa di TV3 menuntut Erra untuk tampil secara langsung di kaca televisyen pada malam ini. Ketika ini, Umie barangkali sedang seronok melayan tetamu atau berjumpa saudara-mara di daerah kelahiran suaminya, di Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment