Friday, November 11, 2011

BANTUAN PERSEKOLAHAN RM100


Kira-kira 5.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah akan menerima wang bantuan persekolahan RM100 seorang yang sudah disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing mulai semalam dan diagihkan secara tunai kepada ibu bapa, penjaga atau murid dalam tempoh 14 hari.

Bayaran berkenaan untuk murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011, manakala bagi Sabah dan Sarawak, selewat-lewatnya minggu depan. Pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu bagi sesi persekolahan 2012 pula menerimanya pada Januari.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan menyalurkan peruntukan RM550 juta itu kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) dan bank kemudian menyerahkannya kepada pihak sekolah sebelum diagihkan.
“Bagi sekolah yang tiada akaun BSN, mereka bersetuju buka akaun sementara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Bersama Warga Pensyarah dan Pelajar Matrikulasi di Kolej Matrikulasi Selangor di sini, semalam.

Bantuan berkenaan membabitkan sekolah kerajaan, swasta, persendirian dan agama di seluruh negara. Sekolah kebangsaan dan bantuan kerajaan membabitkan 5,061,574 pelajar, sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri (313,373), sekolah persendirian (125,465) serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Kolej Tentera (32,238).

Muhyiddin juga berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan menaikkan elaun bulanan pelajar matrikulasi yang ketika ini RM250 dengan mengambil kira kenaikan kos hidup sekarang.

“Jika tidak sampai RM400, naik sedikit pun dikira bagus kerana jumlah yang diberikan sekarang dianggap tidak cukup,” katanya.
Ketika menjawab soalan seorang pelajar kolej matrikulasi yang bimbang kemungkinan mereka tidak diterima ke universiti, beliau berkata, kerajaan memberi jaminan ia tidak akan berlaku walaupun sesetengah universiti mempunyai kursus pra universiti sendiri.

“Matrikulasi diwujudkan untuk bantu Bumiputera dan kita sedar bila ada pra universiti, ada persaingan. Sekarang ada masalah penempatan sebab kursus yang mereka (pelajar kolej matrikulasi) minta mungkin tidak diterima universiti.

“Saya akan bincang dengan Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) kerana ada pelajar kolej matrikulasi yang tidak dapat kursus diminta dan masalah penempatan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sudah meminta wakil kedutaan dan penuntut di Indonesia mendesak pihak berkuasa menyiasat teliti pembunuhan pelajar perubatan Universiti Brawijaya, Malang, Adrian Jay Pereira, 22, pada Isnin lalu bagi memastikan penjenayah ditangkap dan dihukum.

Katanya, beliau mengenali mendiang yang menjadi antara pemimpin pelajar yang menyambut kunjungannya ketika lawatan ke Surabaya baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, Adrian dilaporkan mengejar seorang lelaki yang cuba melarikan motosikal di depan rumahnya, tetapi dipercayai ditetak suspek tidak jauh dari rumah sewanya dan mati di tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment