Friday, October 28, 2011

SUAMI NING BAIZURA MENJALIN HUBUNGAN SULIT DENGAN CINA


DUNIA artis memang tidak boleh dipisahkan daripada gosip yang sentiasa mengekori mereka dalam setiap langkah yang diambil, tidak kira artis baru ataupun yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni.

Gosip kadangkala boleh menjurus kepada kebaikan seseorang artis itu sama ada ia mampu menambah lagi populariti mereka atau sebaliknya.

Adakala gosip juga boleh menjatuhkan maruah dan karier seseorang artis itu jika mereka tidak tahu selok-belok untuk kembali bangkit setelah nama tercemar.

Terpulang kepada bagaimana seseorang artis itu meletakkan diri mereka selepas dilanda gosip dan mengorak langkah seterusnya dalam meneruskan karier seni mereka.

Itulah yang dialami Ning Baizura, 37, baru-baru ini apabila timbul gosip mendakwa suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton (Omar) menjalin hubungan sulit dengan setiausahanya, seorang wanita berketurunan Cina.

Gosip itu bukan sahaja memeranjatkan Ning, malah apa yang nyata ia lebih menguatkan rasa cinta Ning terhadap Omar.

Penyanyi itu yang ditemui pada sidang akhbar pelancaran muzik video terbarunya berjudul Bila mengakui agak terkejut dengan gosip itu sambil berkata;

“Mana mungkin Omar menjalin hubungan sulit dengan setiausahanya kerana Omar sudah berhenti kerja sejak beberapa bulan lalu untuk menguruskan kerjaya seni saya sepenuh masa.

“Itu semua gosip liar dan saya tidak perlu risau atau curiga terhadap Omar kerana saya tahu dan kenal siapa suami saya.

“Lagipun saya bersetuju untuk diuruskan oleh suami sendiri kerana dia mempunyai perancangan dan strategi untuk masa hadapan saya dalam meneruskan langkah dalam bidang seni.

“Gosip-gosip seperti ini adalah normal dan setelah 18 tahun menceburi bidang seni saya sudah lali dengan pelbagai gosip.

“Kalau nak tahu, sewaktu gosip liar itu bertebaran, suami saya sendiri lebih terkejut berbanding saya kerana sebelum dia menguruskan kerjaya saya, dunia kami terlalu berbeza,” kata Ning dalam nada tenang.

Menyentuh siapakah wanita Cina yang dikatakan menjalin hubungan dengan suaminya, Ning secara jujur mengatakan bahawa dia tidak tahu siapa wanita tersebut dan dia berharap agar gosip liar ini dihentikan segera.

Menurut Ning, setelah Omar menjadi pengurusnya sepenuh masa dia merasakan perjalanan seni dan kehidupan rumahtangganya semakin bahagia kerana Omar sudah mula memahami akan dunia seni dan tugasnya.

“Saya gembira kerana suami saya terlibat secara langsung dengan perjalanan seni saya dan ini membantu meningkatkan lagi komunikasi dan persefahaman serta kasih sayang antara kami,” cerita Ning sambil memandang mesra Omar di sisinya. Omar pernah bekerja dengan sebuah syarikat cari gali minyak yang terkenal di ibu kota.

I love my wife, the one and only - Omar

Omar yang ditemui ketika menemani isterinya, Ning Baizura di majlis itu menzahirkan bahawa rumah tangga mereka sedang bahagia dan tiada masalah orang ketiga seperti dikhabarkan baru-baru ini.

Ketika ditanya berhubung gosip tersebut, pantas Omar menegaskan bahawa tiada insan istimewa dalam hidupnya selain daripada Ning Baizura.

“Saya sendiri tidak tahu siapakah wanita berketurunan Cina yang digosipkan dengan saya.

“Saya terkejut apabila mendengar gosip tersebut tetapi saya tahu perkara seperti ini adalah sesuatu yang biasa bagi seorang artis,” katanya.

Berfikiran positif

“Saya tiada ramuan tertentu untuk terus bertahan dalam industri ini tetapi saya sentiasa berfikiran positif bahawa setiap tindakan saya akan mendatangkan hasil pada kemudian hari.

“Sejujurnya pada awal penglibatan saya dalam bidang ini, saya tidak pernah terfikir akan dapat bertahan selama ini,” kata Ning apabila ditanya rahsia beliau terus bertahan dalam industri ini.

Ning Baizura yang bakal menyambut ulangtahun ke-20 sebagai anak seni dalam masa dua tahun lagi, tidak menafikan sepanjang kariernya pernah terpalit dengan pelbagai isu kontroversi yang mampu memadamkan terus namanya dalam industri muzik tempatan.

“Peminatlah yang banyak memberikan saya inspirasi untuk terus mencipta nama dan segala yang saya lakukan adalah untuk membalas jasa dan kepercayaan yang telah mereka berikan kepada saya.

“Selain itu, saya juga banyak mengambil contoh yang baik dari artis yang lebih dahulu mencipta nama seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dalam mempertingkatkan cara saya berkomunikasi dengan peminat,” katanya.

Konsert selepas 15 tahun

Kali terakhir Ning Baizura mengadakan konsert solonya, Konsert Teguh adalah pada tahun 1996 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Selepas itu, dia tidak mengadakan sebarang konsert berskala besar kecuali persembahan korporat termasuk majlis makan malam.

Maka itu, kata Ning, sekiranya tiada aral melintang, pada penghujung tahun ini dia bakal mengadakan sebuah konsert, Ning @ KL Live bertempat di Life Centre, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Kata Ning, konsert itu nanti bolehlah dianggap sebagai menamatkan penantian peminat-peminat tegarnya yang mahu melihat anak jati Selangor ini beraksi diatas pentas berbayar.

“Persiapan untuk konsert yang bakal diadakan pada 2 Disember ini sudah 80 peratus siap. Hanya tinggal 20 peratus lagi untuk melengkapkan persiapan menjelang konsert saya itu.

“Istimewanya konsert saya itu nanti, ia menceritakan perjalanan seni saya selama 18 tahun dalam bidang ini dan saya berharap peminat akan terhibur dengan persembahan saya pada konsert itu nanti.

Pada malam tersebut, Ning bakal menyanyikan lebih daripada 20 buah lagu yang telah dinyanyikan sepanjang perjalanan seni beliau dalam industri muzik tempatan dan antarabangsa.

Sehingga kini, jualan tiket sudah hampir 50 peratus dan tempahan tiket boleh dilakukan dengan melayari laman web www.tickethotline.com.my pada harga bermula RM150 hingga RM375.

Muzik video terbaru

Pelancaran muzik video terbaru Ning Baizura yang berjudul Bila adalah sesuatu yang berbeza berbanding kebiasaan yang dihidangkan oleh penyanyi ini.

Ning berkata, lagu ini yang membawa irama pop rock lebih kepada konsep kemanusiaan dan ia menyentuh kepada penglibatan kita dalam hidup seseorang itu tanpa kita sedari.

“Sememangnya lagu ini menampilkan sesuatu yang baru dan saya berpuas hati dengan hasilnya.

“Terdapat perbezaan yang ketara berbanding dengan lagu-lagu saya yang terdahulu dan saya pasti, peminat pasti akan menghargainya,” kata penyanyi yang juga popular kini bersama 3 Suara.

No comments:

Post a Comment