Thursday, August 18, 2011

SIMBAH ASID


“Sebaik menerima berita anak saya disimbah asid, badan saya menjadi lemah dan tak tahu nak buat apa. Sepanjang pengetahuan saya, dia anak yang baik dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

“Kejadian itu benar-benar mengejutkan saya. Saya sedih kerana pada tahun ini dia akan menyambut hari raya di hospital dalam kesakitan akibat kejadian ini. Saya harap pihak tidak bertanggungjawab diberi balasan setimpal,” kata Abdul Latiff Kassim, bapa kepada seorang lelaki yang disimbah asid ketika sedang menunggu rakannya berhampiran tandas awam di Jalan Raja Laut, 8 Ogos lalu.


Katanya, perasaan sedih tidak dapat dibendung apabila melihat kecederaan teruk di muka, badan dan dua tangan anaknya serta berdepan kemungkinan terjejas penglihatan selepas mata kanannya kabur manakala mata kiri belum dapat dibuka.

Abdul Latiff berkata, dia yang sedang menonton televisyen di rumah bersama isteri bergegas ke hospital sebaik menerima panggilan telefon daripada rakan Mohd Raffie yang berada bersamanya pada malam kejadian.


“Ketika tiba, saya terkejut mendapati dia dalam keadaan begitu teruk. Selepas bertemu rakannya, baru saya tahu dia menjadi mangsa simbahan asid oleh orang tidak dikenali ketika sedang menunggu di dalam kereta,” katanya pada sidang media bersama Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.


Menurut Abdul Latiff, dia sekeluarga menolak kemungkinan kejadian berkenaan bermotifkan dendam kerana anak ketiga daripada empat beradik itu tidak mempunyai masalah di tempat kerja, malah dia disenangi semua orang.

“Ini turut diakui majikan yang datang melawatnya baru-baru ini. Malah ramai rakan sekerjanya turut memberikan sokongan moral dan bersedih dengan kejadian itu. “Saya yakin ia bukan bermotifkan permusuhan dan sebagainya. Ia mungkin dilakukan individu bermasalah,” katanya.


Sementara itu, Muhd Khairun berkata, bironya akan menubuhkan Jawatankuasa Tabung Amanah bagi mencari dana membantu meringankan beban anggota keluarga selain menampung perbelanjaan yang mungkin diperlukan Mohd Raffie.

No comments:

Post a Comment