Friday, August 5, 2011

RATU CANTIK : SOO WINCCI

      

“MENGIKUT pepatah masyarakat Cina, ‘tiada perempuan yang dilahirkan hodoh kerana yang ada hanyalah perempuan yang malas saja’.

“Saya amat mempercayai kata-kata itu kerana lantaran tidak menjaga makan, saya pernah diejek sebagai kanak-kanak obes ketika berusia 10 tahun.

  

JELITA...bekas ratu cantik ini pernah alami masalah berat badan.


RAWAT WAJAH...dalam menjaga kecantikan kulit supaya kekal berseri, Wincci menggunakan produk Anew keluaran Avon.

“Gelaran berkenaan diberikan rakan kerana saya pelajar paling gempal di sekolah pada ketika itu,” demikian pengakuan bekas Ratu Cantik Malaysia/ Dunia 2008/2009, Soo Wincci.

Wanita cantik yang fasih lima bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Cina, Jepun serta Perancis itu menegaskan, setiap wanita tidak kira usia perlu rajin menjaga kecantikan seluruh badan dan seeloknya ia dilakukan sejak awal lagi.


Walaupun ramai yang menganggap raut wajah tidak begitu penting jika dibandingkan dengan hati, persepsi ketika pertama kali bertemu muka juga perlu diambil kira.



“Ramai wanita yang malas menjaga kecantikan badan dan hanya tergerak untuk menjaganya selepas kulit mula menunjukkan tanda penuaan.

“Ia tidak seharusnya berlaku kerana badan adalah tanggungjawab kita dan perlu menjaganya dengan sebaik mungkin,” katanya.

Wincci mengakui sebelum ini dia turut mengalami masalah pada kulit wajah kerana tuntutan kerjaya sebagai seorang penyanyi dan pelakon yang memerlukannya tampil dengan solekan tebal setiap hari.

Kata anak gadis kesayangan pasangan Soo Kim Sin, 63, dan Eko Tiang, 48, itu lagi, jadual kerja yang tidak menentu dan faktor persekitaran turut memburukkan lagi keadaan apabila kulit wajahnya mula ditumbuhi jerawat dan kelihatan tidak bermaya.

Buntu memikirkan jenama yang terbaik untuk kulitnya, Wincci akhirnya menerima saranan rakan yang mahu dia mencuba produk Anew daripada Avon.

Tidak seperti selebriti terkenal lain yang memilih hanya menggunakan produk mewah dan mahal, wanita kelahiran Petaling Jaya, Selangor, itu mengakui tertarik dengan kualiti produk berkenaan yang kini menjadi ‘sahabat baiknya’.

Anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui sejak menggunakan rangkaian produk jenama itu, kulitnya semakin cerah dan kekal lembap serta tampak lebih bermaya.

“Tertarik dengan kesannya yang menjadikan kulit wajah lembap dan cerah berseri mendorong saya setia dengan jenama sehingga hari ini.

“Produk rangkaian Anew mengandungi bahan inovatif berfungsi menghentikan pengeluaran pigmen gelap sekali gus membantu kulit untuk kelihatan lebih cerah berseri.

“Lebih istimewa, Anew juga mempunyai enam bahan revolusi yang memberi tenaga kepada sel kulit supaya tidak mengalami cela dan tompokan gelap,” kata duta Anew ini.

Berkongsi mengenai rahsia kecantikan, Wincci berkata, sejak remaja dia mengamalkan petua penjagaan wajah yang diajar ibunya.

Amalan itu tidak memerlukan bahan yang mahal, tetapi hanya sekadar menggunakan yis, oat, telur, dadih, pisang dan lemon yang sememangnya murah serta mudah didapati.

“Oat dan lemon saya gunakan sebagai bahan sental kerana ia membantu mengecilkan liang roma selain membantu memutihkan kulit.

“Bagi menghilang bekas jerawat atau jeragat, saya menggunakan kulit pisang dan pisang yang dilenyek bersama madu juga elok dijadikan sebagai topeng penyegar pada wajah.

“Semua bahan ini sesuai pada semua jenis kulit dan tidak berbahaya,” katanya.

Dalam mengekalkan kesihatan dan kecantikan rambut, Wincci mengamalkan menyapu campuran telur putih dan minyak zaitun.

Jelasnya, telur putih dan minyak zaitun bukan saja dapat melembutkan rambut malah membantu menyerlahkan sinarnya. Untuk mendapatkan berat badan ideal pula, Wincci berkata dia mengamalkan mengambil minuman jus nyahtoksin yang dibuatnya sendiri.

Menurut Wincci, jus campuran buah-buahan dan sayuran itu dapat membantu membuang toksin dari badan.

Daripada segi makanan, Wincci tidak mempunyai sebarang pantang-larang kecuali mengelak daripada mengambil makanan berlemak atau berminyak dan daging kambing.

Wincci juga mengakui masih trauma dengan masalah berat badan dan kini berhati-hati untuk menjaga dan mengekalkannya.

“Oleh kerana tidak meng awal makan ketika belajar di United Kingdom empat tahun lalu, berat badan saya kembali meningkat sehingga mencecah 65 kilogram.

“Ia menyebabkan ibu memberi gelaran godzila ketika saya kembali ke Malaysia untuk bercuti.

“Malu dengan gelaran itu mendorong saya untuk mengamalkan pemakanan seimbang dan mengurangkan makanan kegemaran selama ini iaitu coklat dan ais krim.

“Mujur sebelum menyertai pertandingan ratu cantik dunia itu, berat badan saya kembali kepada asal,” katanya yang kini sibuk dengan projek filem dan album terbarunya yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Mengulas mengenai pemilihannya sebagai duta Anew (satu-satunya duta daripada selebriti bukan Melayu), Wincci mengakui dia begitu teruja dengan peranan berkenaan.

Walaupun bukan berbangsa Melayu, itu tidak menjadi halangan untuknya mendekati masyarakat Bumiputera di negara ini.

“Saya gembira kerana dapat bertemu ramai pengedar Avon dan pengguna produk ini di seluruh negara ketika sesi jelajah yang diadakan baru-baru ini.

“Peluang berkenaan membolehkan saya mendekati masyarakat daripada pelbagai latar belakang bagi berkongsi pendapat serta maklumat mengenai kecantikan.

“Ia seperti menyelam sambil minum air kerana sebagai duta Anew, saya juga berperanan untuk membantu mengeratkan hubungan antara kaum terutama antara masyarakat Melayu dan Cina di negara ini,” katanya dalam bahasa Melayu yang cukup fasih.

Ratu cantik itu bukan saja mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan malah turut memiliki ijazah Sarjana Muda Undang-undang daripada universiti di United Kingdom, ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dan kini melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

“Bagi saya, kecantikan dan ilmu pengetahuan perlu seiring kerana kecantikan jika tidak dijaga akan pudar, tetapi ilmu, tidak akan berkurangan.

“Saya percaya dengan ilmu, seseorang akan lebih dihormati,” tuturnya sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment