Sunday, August 21, 2011

ISTERI BERLAWAN DENGAN BUAYA



Jeritan seorang isteri yang menghidap penyakit latah menyelamatkan suaminya, Wan Sahari Wan Ateng, 47, daripada dibaham buaya di Sungai Paroh, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Wan Sahari, yang sedang menjala udang bersama isterinya Saliah Jini, 47, tiba-tiba diserang buaya yang dianggarkan sepanjang 6.5 meter.
Melihat buaya yang muncul di tepi perahu mereka menyambar lengan kanan suaminya, Saliah, melatah dan jeritannya menyebabkan reptilia itu melepaskan gigitannya.
"Selepas menyambar lengan saya, buaya itu cuba menarik saya ke dalam sungai dan ketika itu saya hanya terfikir akan mati namun saya berusaha menggagahkan diri melawannya menyebabkan perahu kami senget dan hampir karam.

"Isteri saya yang menghidap latah terkejut melihat kejadian itu dan menjerit dengan suara yang cukup kuat menyebabkan buaya itu berundur tiba-tiba dan terus hilang dalam gelap," katanya.

Sambil mengucapkan syukur terselamat daripada kejadian yang menakutkan itu, Wan Sahari, turut berterima kasih kepada isterinya kerana jeritannya berjaya menakutkan reptilia ganas itu.

"Kalau tidak kerana jeritannya, tidak tahulah nasib saya. Syukurlah Tuhan melindungi saya menjelang 10 hari lagi kita menyambut hari raya," katanya sambil menunjukkan kesan gigitan buaya itu di lengan kanannya.
Bapa kepada sembilan anak itu berkata, kejadian itu adalah kali pertama sejak menjadi nelayan sungai sepenuh masa selepas berhenti kerja dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) 17 tahun lalu.

"Sebelum ini, sudah beberapa kali perahu yang saya naiki terlanggar reptilia itu selain terserempak buaya yang timbul berdekatan perahu, namun apabila menyedarinya saya akan segera berpindah ke tempat lain," katanya.

No comments:

Post a Comment