Wednesday, July 20, 2011

ANUAR ZAIN MENANGIS

HAMPIR tiga dekad menghambakan diri dalam bidang hiburan, penyanyi kacak bervokal lantang Anuar Zain cukup dikenali sebagai penghibur yang sangat menjaga kualiti album dihasilkannya sejak dulu lagi.

Justeru, tidak hairanlah, pembikinan bingkisan album ke-4, Jejaka Idaman Malaya yang juga pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain, 41, ini juga sudah mencecah setahun, tetapi masih belum menjengah pasaran tempatan.
Namun, anak kelahiran Merlimau, Melaka yang popular dengan lagu Sedetik Lebih ini ternyata masih tidak berpuas hati dengan album dihasilkan itu.

“Sebenarnya, album ke-4 yang mengandungi lapan lagu ini sudah siap, tapi saya yang mahukan proses mixing dan masteringnya dibuat semula kerana tidak puas hati dengan hasilnya sebelum ini.


“Sebelum ini, saya sudah muncul dengan single terlebih dulu iaitu Ku Berjanji Kerna Cinta ciptaan komposer terkenal dari seberang, Nico Ajie Bandy yang sudah diputarkan di stesen radio, enam bulan lalu. Single ini juga tidak dijual kepada peminat,” katanya.



Selain single berkenaan, lagu lain yang dimuatkan dalam album ke-4 ini ialah Simpati Cinta (Hazami), Ajari Aku (Adrian Martha), Cinta Harus Memiliki
(Numata), Terindah (Nico Ajie Bandy, Nadi Terhenti (Alvin Santiago).

“Insya-Allah, jika semua berjalan lancar, album baru ini dijangka menjengah pasaran tempatan pada Ramadan atau Aidilfitri nanti,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Anuar juga sanggup berhabis sehingga ratusan ribu ringgit demi menjaga kualiti album, sekali gus memberikan yang terbaik buat peminatnya.

“Saya juga tidak kisah dari segi kos untuk pembikinan album dihasilkan. Apa yang penting, hasilnya memuaskan hati sendiri dan peminat setia yang menyokong selama ini. Kos pembikinan album ke-4 ini tinggi kerana proses masteringnya dibuat di Australia.

“Cuma saya kurangkan sedikit kos untuk album ini dengan buat lapan lagu saja berbanding sepuluh lagu sebelum ini.

“Jika artis lain muncul single demi single, saya pula tetap tampil muncul dengan album penuh buat kepuasan diri sendiri dan peminat setia di luar sana,” katanya.

Selain album ke-4, Anuar juga merancang untuk menghasilkan album tribute selepas ini.

“Saya siapkan dulu album ke-4 ini dulu sebelum buat album tribute nanti. Sebenarnya, saya sudah lama saya merancang untuk buat album tribute yang memuatkan rangkaian lagu hits barisan artis pujaan saya sejak kecil lagi.

“Contohnya lagu dendangan Sohaimi Meor Hassan berjudul Epilog Cinta Dari Bromley yang cukup diminati sejak zaman kanak-kanak yang masih menjadi siulan peminat sampai kini.

“Saya juga akan sampaikan lagu dalam album tribute itu tanpa mengubah melodi asalnya. Cuma susunan lebih menarik dan lebih moden sikit,” katanya yang tidak terbabit dalam sebarang program raya di kaca televisyen pada tahun ini.

Air mata Anuar tumpah

BAGAI dijangka, persembahan Anuar tidak pernah menghampakan peminatnya.
Justeru, tidak hairanlah, persembahan Up Close & Personal With Anuar Zain yang berlangsung di Mega View Banquet Deck Menara Kuala Lumpur pada 15
dan 16 Julai lalu juga mendapat sambutan memberangsangkan dari peminatnya.

Persembahan makan malam bersama Anuar juga eksklusif buat lebih 250
peminat setia yang menyokong karier seninya sampai hari ini.

Walaupun, harga tiket menyaksikan persembahan Anuar membabitkan harga RM500 hingga RM1,300, tetapi ruang dalam Mega View Banquet dipenuhi

ratusan peminatnya. Pada malam yang cukup bermakna itu, Anuar menyampaikan
barisan lebih sepuluh repertoire lagu popularnya iaitu Sedetik Lebih, Kaulah Satunya, Ku Berjanji Kerna Cinta dan Ketulusan Hati.

Bagaimanapun, suasana bertukar sunyi seketika apabila Anuar menitiskan air mata lelakinya ketika mendendangkan lagu yang penuh nostalgia buatnya iaitu Kembalilah Kasih pada malam itu.

Kerana berasa sebak, Anuar seperti tidak mampu meneruskan nyanyian dan mendiamkan diri seketika sebelum menghabiskan nyanyian lagu ciptaannya bersama Pacai itu. Bagi mengembalikan keadaan, Anuar terus memberitahu peminat lagu berkenaan cukup bermakna dalam lipatan sejarah hidupnya dulu.

Ditanya kenapa dia menitiskan air mata, akui Anuar, lagu itu menceritakan kisah percintaannya bersama seorang gadis yang terputus di tengah jalan sekitar 2000.

“Kami terpaksa membawa haluan masing-masing kerana saya sendiri yang mahu memberi tumpuan pada karier sebaliknya si dia mahukan kami berkahwin pada usia muda. Saya menitiskan air mata malam ini secara spontan dan ia tidak disengajakan.

“Terus-terang, saya hanya mahu menghiburkan peminat dengan lagu yang jarang saya nyanyi termasuklah lagu Kembalilah Kasih, tetapi tidak sangka ia membuatkan saya sebak pula. Sebab itu saya tidak pernah menyanyikan lagu itu dalam persembahan sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment