Saturday, June 25, 2011

PESTA SERANG DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

Adakah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan mengambil langkah berani untuk mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan membuat laporan polis palsu?

Atau, adakah memadai untuk peguam negara menutup kes ini di sini, selepas pendakwaraya mengambil kesempatan menghebahkan kononnya dua profesor sebuah kolej dari Amerika Syarikat memberitahu Polis DiRaja Malaysia bahawa orang dalam video itu adalah mirip Anwar.

Tidak ada peluang untuk peguam-peguam Anwar mempertikaikan laporan profesor dari Dartmouth College Hanover New Hampshire itu atau rekod akademik kolej itu sendiri kerana pertuduhan hanya membabitkan Datuk T.

Pendakwaan itu digunakan sepenuhnya oleh peguam negara, polis dan peguam Datuk T untuk mengitar semula tuduhan terhadap Anwar, kali ini di dalam sebuah mahkamah terbuka.

Pada masa sama mereka menutup ruang untuk Anwar mempertahankan diri seraya memeriksa laporan “pakar” dan bukti-bukti lain yang dikemukakan semalam.

Justeru persoalan yang amat relevan adalah: Adakah peguam negara sanggup untuk membawa pertuduhan terhadap Anwar sendiri demi mempertahankan hasil siasatan polis dan pakar yang digunakan oleh pendakwaraya untuk mengaibkan beliau?
Tak berani minta dibicarakan

Jika jawapan Gani adalah “ya”, maka ia akan membolehkan peguam Anwar menguji “bukti-bukti” pakar polis yang dimaksudkan mengenai video lucah itu serta memperinchi “semangat patriotik' gandingan Datuk T dalam menayangkan video lucah berkenaan

Sayang sekali, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Shuib Lazim dan Datuk Shahryl Eskay Abdullah tidak pula mengaku tidak bersalah dengan hujah mereka bertindak menayangkan video itu demi kepentingan negara dan bukan kerana mencari keuntungan diri.

Jika mereka berani meminta dibicarakan, maka sudah tentu ia memberi ruang kepada Anwar untuk dipanggil sebagai saksi dan peguam-peguam Anwar pula boleh memohon untuk menjadi pemerhati dengan hak menyoal balas “pakar-pakar” pendakwaraya.

Namun ini tidak berlaku. Gandingan Datuk T sebaliknya cepat-cepat mengaku salah, dan membayar denda ringan.

Sebaik sahaja keluar mahkamah, Datuk T dan peguam mereka melontarkan satu lagi pusingan tuduhan terhadap Anwar.

Satu aspek menarik mengenai kes mahkamah Datuk T adalah bagaimanakah peguambela mereka, Datuk Shafee Abdullah memperolehi laporan daripada profesor Amerika itu jika dokumen itu adalah sulit dan dipegang oleh polis?

Seperti yang dijangka, laporan itu dipergunakan sepenuhnya oleh Shafee untuk mendakwa kononnya kini ada pakar Amerika Syarikat mengesahkan bahawa orang dalam video itu 99.99 peratus adalah Anwar.

Yang menghairankan, ialah tidak ada pula butiran dalam laporan pakar itu yang memberikan peratusan sedemikian.

Satu carian di Internet pula mendapati Kolej Dartmouth yang menjadi rujukan Gani dan Shafee lebih terbilang sebagai kolej yang menawarkan kursus untuk ijazah pertama sahaja. Kewibawaannya dalam bidang penyelidekan ala-CSI ini perlu disahkan terlebih dahulu.

Selepas pendakwaraya menghebahkan laporan pakar Amerika itu di mahkamah terbuka, peguam Datuk T pula menyimpan dokumen itu untuk ditunjukkan kepada wartawan selepas perbicaraan.

Menyelamatkan Malaysia?

Rahim, Shuib dan Eskay kemudian “dilepaskan” dengan denda berjumlah RM5,500 kerana menayangkan video lucah. Namun menurut mereka, mereka sanggup “mengorbankan diri” dengan menerima hukuman itu demi menyelamatkan Malaysia.

JIka itu alasan mereka, sudah tentu, mereka sepatutnya mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan untuk membersihkan nama mereka.

Denda beberapa ribu ringgit itu adalah harga murah untuk dibayar oleh Rahim dan dua rakannya bagi peluang mengaibkan Anwar, menjatuhkan musuh politik utama Umno dan sekali gus mencerahkan harapan Umno-BN pada pilihanraya umum akan datang.

Namun beberapa persoalan penting tidak diajukan kepada gandingan Datuk T, oleh pendakwaraya mahu pun polis. Antaranya;

Eskay mendakwa kejadian berlaku di hotel, kertas tuduhan mengatakan ia berlaku di sebuah pangsapuri. Eskay mengaku beliau berada dalam rakaman lucah itu dan camcorder yang mengandungi rakaman itu dirampas dari beliau oleh polis.
Justeru, bukankah Eskay mempunyai peranan yang jauh lebih berat dalam rakaman video itu? Kenapa dibataskan dakwaan terhadap Eskay hanya dalam peranan menayangkan video lucah dan bukan sebagai pihak yang mendalangi rakaman itu sendiri? Malah, mungkin membekalkan pelacur yang dimaksudkan?
Dan, ini persoalan yang sering ditanya oleh media arus perdana – apa jadi dengan isu jam Omega yang diserahkan oleh Eskay kepada polis? Tiba-tiba isu jam itu “dilenyapkan' daripada paparan orang ramai.
Umno tak terlibat?

Ini mungkin kes pertama di dunia di mana tiga orang didakwa menayangkan video lucah namun kertas pendakwaan memberi tumpuan yang begitu spesifik kepada aspek-aspek yang boleh mensabitkan Anwar sebagai pelakunya.

Segala pertuduhan terhadap Anwar itu, malangnya, tidak boleh dijawab oleh Ketua Pembangkang kerana bukan beliau yang menghadapi pendakwaan atau pertuduhan.

Jadi ini memberi ruang yang cukup bebas untuk pendakwaraya, peguam Datuk T “melanyak” beliau tanpa bimbang terhadap jawab balas Anwar di mahkamah.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin mendakwa pendakwaan Datuk Trio membuktikan Umno tidak terlibat dalam video lucah yang dikaitkan kepada Anwar.

Mungkin Khairy boleh menjelaskan bagaimana tiga individu yang mempunyai kepentingan dalam Umno dan kontrak-kontrak lumayan, boleh membuat tuduhan begitu keji yang kemudiannya disokong dan diulang oleh Pejabat Peguam Negara di dalam mahkamah terbuka?

Semua ini dibuat tanpa memberi peluang kepada Anwar untuk membela diri.

Rasanya Khairy tahu maksud pepatah “lontar batu sembunyi tangan”

No comments:

Post a Comment