Saturday, June 4, 2011

KUTIPAN FILEM KONGSI CECAH 8 JUTA

BUKAN suatu yang mustahil mengatakan kejayaan filem Adnan Sempit meraih kutipan RM7.6 juta, Ngangkung (RM8.2 juta) dan Kongsi (RM8.1 juta) adalah faktor kehadiran Shaheizy Sam selaku hero tiga filem itu.

Berbanding penampilan awalnya di layar perak menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Syurga Cinta dan Jangan Pandang Belakang Congkak (2009), namanya meniti puncak popular selepas kejayaan Adnan Sempit.
Aksi lakonan komedi Sam sebagai Adnan, Mat Rempit yang juga penghantar surat di syarikat majikannya, Nadia lakonan Intan Ladyana, berjaya menghiburkan penonton.

Namun, penampilannya menerusi Evolusi KL Drift 2 memberi rezeki apabila menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), tahun lalu. Bagaikan tahun cemerlang Sam di pentas lakonan, pencapaian tertinggi diraih menerusi Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010, April lalu.


Atas anugerah undian pembaca itu, Sam membawa pulang hadiah Nissan Teana 2.0L bernilai RM137,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM). Majlis penyampaiannya diadakan di pejabat Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Hadiah itu disampaikan Pengarah Eksekutif, Edaran Tan Chong Motor, Datuk Dr Ang Bon Beng. Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid bersama Timbalan Pengarang, Mahfar Ali dan Pengarang Hiburan, Zainuri Misfar.

Sam tidak putus menyatakan rasa bersyukur atas rezeki yang diterima. Malah, sejak merangkul dua anugerah besar itu, jadual aktiviti seninya terus padat dengan pelbagai tawaran baru yang singgah.

“Pada saya, tidak banyak perubahan berlaku pada diri sendiri selepas menang anugerah. Mungkin pada pandangan orang lain saya nampak berbeza dan mereka meletakkan harapan lebih tinggi pada lakonan saya.

“Saya tidak tahu jika soal ‘demand’ timbul kerana saya berasakan jika saya kini dapat bayaran lebih, saya sangat bersyukur. Bagaimanapun, tidak dinafikan saya berasa sangat tertekan untuk menunjukkan lakonan lebih baik,” katanya.

Anak dramatis Khaty Fauziah ini menyokong jika ada cadangan meletakkan bayaran standard pada pelakon yang pernah menang anugerah dan berada di status popular.

Katanya, standard bayaran seperti itu patut ada, tetapi pelakon juga perlu berfikir dua kali apabila produksi mempunyai kos penerbitan yang rendah.

“Walaupun saya sibuk dengan filem bersama MIG Production, saya tidak rasakan saya anak emas produsernya, David Teo. Hakikatnya, saya masih sama seperti pelakon lain,” katanya.

Kata Sam, dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon kerana komitmen sedia ada. Sam baru selesai menjalani penggambaran filem Adnan Sempit 2 arahan Ismail Bob Hasim yang masih menggandingkannya dengan Intan, Norliana Samsudin dan Along Raja Lawak. Filem ini dijangka mengulangi kejayaan sekuel pertama.

“Apa yang boleh saya katakan, sekuel kali ini lebih ekstrem dan banyak tekanan pada saya untuk membawa lakonan dan cerita lebih menarik ditonton. Selepas plot lalu, Adnan berjaya memenangi hati Nadia, kali ini Adnan berdepan cabaran menambat hati keluarga Nadia pula.

“Buat masa ini, saya tidak tahu bagaimana impak filem baru ini pada penonton, tetapi mengikut lakonan dari satu adegan ke adegan lain, saya rasakan elemen komedinya lebih banyak.

“Jika filem baru ini dapat mengulangi kejayaan sekuel pertama, ia sudah cukup baik. Selepas ini, saya akan menjayakan sekuel Ngangkung yang dijangka bermula bulan ini,” katanya.

Dalam kesibukan itu, Sam juga menyatakan akan muncul dalam satu projek filem bersama Skop Production Sdn Bhd pada Julai depan. Menariknya, judul filem ini diambil dari namanya sendiri merujuk Saya Amat Mencintaimu (SAM). Penghujung tahun dalam November, Sam akan terbabit dengan satu filem baru genre komedi bersama kakaknya, Zizie Ezette.

“Saya selesa dengan watak komedi, tetapi tidak mustahil suatu hari nanti penonton akan rasa bosan dan ketika itu saya bawa diri. Saya sendiri tidak mempunyai masalah bawa watak lebih serius kerana itu adalah impian semua pelakon.

“Buat masa ini saya belum sempat bercuti, tetapi saya merancang jika penggambaran Ngangkung 2 tangguh, saya mahu melancong bersama rakan ke pulau dalam masa terdekat.

“Sambil berehat, saya juga mahu buat ‘brainstorming’ untuk projek filem baru bersama kakak nanti. Saya suka komedi situasi walaupun ia sukar dan membawa tanggungjawab berat,” katanya yang akan muncul dengan tiga filem tahun ini bermula Kongsi (Mei), Sekali Lagi (30 Jun) dan Songlap.

Di sebalik kisah karier seni yang tidak putus-putus, Sam tidak berselindung dia juga mempunyai keinginan mempunyai teman istimewa dan mendirikan rumah tangga suatu hari nanti.

“Sambil berlakon, saya ada juga berjumpa dengan beberapa wanita yang ingin saya kenal lebih dekat, tetapi saya sebenarnya takut dengan tiga perkara.

“Pertama, saya takut jika tidak dapat beri sepenuh komitmen pada pasangan. Kedua, saya memang seorang yang kuat bekerja dan mahu pasangan saya faham dengan kerja saya manakala ketiga pula, saya bimbang jika lamaran saya ditolak,” katanya.

No comments:

Post a Comment