Thursday, June 16, 2011

GENG GODAM WEB MALAYSIA

  Lebih 10 laman sesawang agensi kerajaan 'diserang'

  Anonymous bantah sekatan laman perkongsian fail
PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 10 laman web agensi kerajaan, termasuk Jabatan Pengajian Politeknik di Kementerian Pengajian Tinggi, Tourism Sabah dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah digodam penyerang siber pagi semalam, bagaimanapun berjaya dipatahkan dan dipulihkan menjelang petang. Berikutan serangan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan semua agensi kerajaan supaya bersiap sedia dan mempertingkatkan keselamatan laman web masing-masing bagi tempoh 36 jam akan datang.
Amaran itu dikeluarkan berikutan ancaman sekumpulan penggodam antarabangsa menggelar diri mereka 'Anonymous', yang mahu menyerang portal kerajaan, www.malaysia.gov.my melalui 'Operation Malaysia' pada jam 3.30 pagi ini dengan alasan kerajaan mengenakan tapisan terhadap internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail.

Difahamkan, laman web Tourism Sabah, UiTM Sabah dan Jabatan Pengajian Politeknik digodam pada jam 10 pagi dan kembali pulih selepas jam 3 petang semalam.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, berkata semua cubaan menggodam itu berjaya dipatahkan berikutan arahan berjaga-jaga yang dikeluarkan kepada semua agensi sejak kelmarin, selain persiapan awal yang dibuat untuk menghadapinya.
"Bagaimanapun, tempoh ancaman belum berakhir, jadi kita mahu semua agensi kerajaan terus mempertingkatkan keselamatan laman web masing-masing bagi tempoh 24 hingga 36 jam ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang menutup semua sistem komputernya hari ini berikutan ancaman itu, Thajudeen berkata, kerajaan tidak akan mengaku kalah kepada penggodam, sebaliknya sudah mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi mereka.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan cubaan godam yang dilakukan semalam adalah berskala kecil atau dilakukan penggodam tempatan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga sudah bersiap sedia menghadapi ancaman siber berkenaan serta yakin berupaya menangkis cubaan mereka.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan semalam, berkata mereka sudah menyelaras strategi bersama semua agensi kerajaan berkaitan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Sebelum ini pun ada serangan siber dilakukan terhadap laman web kerajaan tetapi kita (SKMM) dapat memulihkannya dengan pantas kerana sudah ada mekanisme dan prosedur bagi menanganinya.

"Bagaimanapun, SKMM akan terus berjaga-jaga terhadap sebarang ancaman siber bagi memastikan keselamatan maklumat dan rangkaian perhubungan demi integriti pelanggan di Malaysia," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri, dalam satu kenyataan berasingan berkata, pihaknya memandang serius ancaman itu dan menganggap kebarangkalian ia berlaku adalah tinggi.

‘Anonymous' dikesan pegawai sebuah syarikat perisian keselamatan di Finland dan makluman mengenainya dibuat pada jam 4.42 pagi Selasa lalu.

Minggu lalu, 'Anonymous' melancarkan DDoS atau 'distributed denial of service' terhadap laman web Kerajaan Turki sebagai bantahan terhadap rancangan kerajaan itu untuk memperkenalkan penapisan internet.

Hujung minggu lalu pula, laman web Senat Amerika Syarikat diceroboh kumpulan penggodam Lulz Security tetapi gagal melepasi 'firewall' untuk memasuki rangkaian laman web yang lebih sensitif.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata semua tindakan yang sewajarnya sudah diambil bagi menghalang cubaan menyerang laman web kerajaan.

"Kita sudah memaklumkan perkara (serangan) ini kepada semua pihak berwajib, dan kita telah mengambil tindakan pencegahan yang perlu menerusi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), SKMM dan semua agensi yang bertanggungjawab mengenai keselamatan siber," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Penulis Blog dan Media Sosial Sedunia 2011 di sini, semalam.

Rais menjelaskan Malaysia tidak pernah mengenakan sekatan internet tetapi akan mengambil tindakan terhadap mana-mana laman web yang mengandungi unsur jenayah.

"Saya rasa mereka tidak faham niat baik kita. Kita tidak ada sekatan tetapi apabila berlaku jenayah siber, mekanisme itu (sekatan) akan digunakan," katanya.

Beliau berkata, semua laman web yang berkenaan (disekat) boleh merayu kepada SKMM agar sekatan itu ditarik balik, bagaimanapun setakat ini suruhanjaya itu tidak menerima sebarang rayuan.

No comments:

Post a Comment