Saturday, May 14, 2011

FILEM KONGSI



Penerbit sasar RM10 juta untuk filem kedua arahan Farid Kamil

KUTIPAN RM10 juta yang disasarkan Metrowealth Pictures (MIG) untuk filem ke-45 terbitannya mungkin boleh dianggap angan-angan yang terlalu tinggi. Tetapi bagi penerbitnya, David Teo, ia bukanlah sasaran yang melampau kerana MIG pernah mencipta rekod tersendiri.
Ia pernah berlaku kepada filem Ngangkung apabila ramai meragui kemampuan filem itu untuk meraih kutipan tinggi. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila Ngangkung meraih kutipan yang tidak disangka-sangka, sehingga RM8.45 juta. Justeru, David cukup yakin kejayaan sama akan diulangi filem kedua arahan Farid Kamil, Kongsi.
Dengan diterajui Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Shaheizy Sam Samad, menambahkan keyakinan David sasaran itu dengan mudah dapat dicapai.

Taruhan kedua sutradara muda, Farid Kamil, memperlihatkan idea segar apabila Kongsi disampaikan dalam bentuk aksi komedi.

"Pada asalnya Kongsi ditulis sebagai filem aksi. Bagaimanapun saya olah kembali skripnya dijadikan komedi. Kebetulan waktu itu, Adnan Sempit mendapat sambutan menggalakkan. Jadi saya berasakan, Sam sesuai membawakan watak utamanya, Tumulak.

"Saya sengaja mengubah genre Kongsi daripada serius kepada komedi kerana jalan cerita asalnya ganas. Kalau genre itu diteruskan, filem ini hanya dapat ditonton oleh penonton 18 tahun ke atas,” jelas Farid selepas majlis pratonton filem itu, Selasa lalu.
Farid menjelaskan dia tidak pernah puas dengan produk dihasilkan dan mengaku memang berlaku kesilapan teknikal pada kamera, apabila ditanya wakil media mengenai kualiti gambar filem itu yang kurang memuaskan.

"Ketika penggambaran memang berlaku sedikit gangguan teknikal pada kamera. Kesilapan pada fokus menyebabkan gambar yang diambil agak kabur, tetapi ada juga yang memang disengajakan kerana ia sebahagian daripada teknik fotografi," katanya.

Bagaimanapun, ditanya mengenai plot cerita yang bercelaru serta menimbulkan kekeliruan kepada penonton, Farid menjelaskan, penonton perlu memberi tumpuan pada awal cerita lagi supaya boleh memahami keseluruhan cerita yang cuba disampaikan. 

No comments:

Post a Comment