Monday, February 21, 2011

BAHASA MELAYU BAHASA ILMU

Generasi hari ini rata-rata tidak mengetahui akan sejarah tamadun bangsa Melayu yang tinggi. Sebenarnya, bangsa Melayu merangkumi bukan sahaja Melayu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand, tetapi juga Melayu Campa di Vietnam dan Kemboja, serta orang-orang Funan di Kemboja, Melayu Filipina, Madagaskar, Taiwan dan pribumi di Papua New Guinea dan pulau-pulau di Asia-Pasifik. Perkataan "Melayu" sebenarnya berasal dari bahasa Sanskrit, Malaya atau Malai, yang bermaksud "Gunung"; dan "Gunung" itu pula ialah perkataan Melayu moden untuk perkataan purbanya "Pnom". Marko Polo (pengembara Itali 1254-1323) merujuk bangsa atau bahasa Melayu sebagai Malaiur; catatan pegawai Portugis di Melaka, de Eradia seorang ahli matematik keturunan Melayu pada sekitar 1600, merujuk bahasa di Melaka sebagai Malaio; manakala catatan China sejak abad ke-6 lagi menyebutnya sebagai Mo-lo-yu, Molo-yoou dan Mo-lo-yeu. Satu daripada tinggalan ilmu Melayu Funan (pada batu bersurat bertarikh 531 Syaka, tahun Melayu Purba yang bermula pada tahun 78M (609M) yang terkenal ialah sistem angka perpuluhan yang ada simbol sifar (yang sama sistemnya seperti angka sekarang). Sebelum abad ke-8M lagi Melayu Campa ada mencatatkan di prasastinya tentang kemahiran mereka dalam pelbagai bidang ilmu dengan mengelaskan ilmu-ilmu yang ada pada mereka itu kepada enam bidang ilmu termasuklah bidang sainsnya yang diistilahkannya sebagai horasastera (iaitu astronomi, astrologi, kosmologi dan yang berhubung dengannya seperti matematik dan fizik). Unit-unit sukatan asasi ciptaan orang-orang Melayu Campa dahulu juga cukup komprehensif, bersistem dan piawai, iaitu unit panjang atau jarak, dinamai li dan chang (kira-kira 10 kaki, unit Inggeris-Melayu yang berasal dari istilah Inggeris (fe e t ) berasaskan panjang kaki seorang raja England abad ke-16. Yang menariknya, ribuan tahun kemudian Inggeris mengambil istilah dram atau dramma (Sanskrit) menjadi satu daripada istilah unit isi padunya, drum. Dalam tamadun Melayu, pada abad ke-7M lagi, sudah wujud istilah imbuhan unit bilangan seperti eka- (ekadasa=11, ekabahasa=satu bahasa), dwi-/bidwinmatra = dua dimensi, bhineka=dua aneka, tri- (tribuana=tiga alam nyata,), panca- (pancaindera = lima deria) polok/pulu/puluh, ratus, rivu/riwu/ribu,
laksa (10 ribu), keti (100 ribu), dan ayuta/juta. Pencatat Sepanyol bersama pengembara terkenalnya, Magellan, pada awal abad ke-16M mencatat perkataan Melayu ini sebagai "iouta". Di Barat, sebahagaian daripada unitnya yang setara dengan unit-unit Melayu di atas itu wujud hanya mulai abad ke-13M sahaja dan sebahagian lagi dicipta dalam abad-abad selepasnya. Selain itu, pada abad ke-14M, selepas kedatangan Islam ke Alam Melayu terdapat banyak
manuskrip dan buku atau kitab Melayu berkenaan dengan ilmu SAKTI (sains, kesihatan, kejuruteraan dan teknologi), selain daripada ilmu sakti biasa itu (ilmu sihir dan ajaib). Manuskrip bidang perubatan dan bioteknologi mungkin menjadi manuskrip Melayu yang terbanyak tetapi bidang ini dikenali sebagai tib atau mujarobat dan ahlinya tabib. Sebahagian besarnya masih belum dikaji oleh ahli-ahli biokimia, bioteknologi, bioperubatan dan perubatan kita sekarang. Oleh itu, dalam konteks sains moden ilmu-ilmu yang ada dalam ribuan manuskrip ini banyaklah yang bersifat hipotesis; dan sesuatu hipotesis dalam sesuatu bidang ilmu amatlah diingini dan mahal harganya kerana semua sains bermula dengan hipotesis. Satu lagi bidang kekuatan orang Melayu dahulu ialah bidang ilmu mantik (lojik), kosmologi, astrologi (ilmu nujum), kosmogeni dan falak (astronomi). Manuskrip Melayu yang tertua yang dijumpai setakat ini ialah Kitab Abi Ma’syar al Falak oleh Ahmad Abdul Qadir Ibni Abdul Rahman pada 1209h/1794M. Kesemua ini membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah mengungkapkan ilmu dalam zaman kegemilangannya, dan jika terus dimartabatkan dan diberi kepercayaan, mampu menjadi bahasa ilmu yang dapat menjana minda bangsanya.



No comments:

Post a Comment